Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCA beri Adun Keranji 7 hari tarik balik kenyataan isu Hospital Kampar
Diterbitkan:  Jan 10, 2020 9:10 PM
Dikemaskini: 1:10 PM

MCA mengeluarkan surat undang-undang yang menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Keranji Chong Zhemin meminta maaf dan menarik semula dakwaan yang menuduh parti mereka menyalahgunakan RM150 juta dana yang dikhaskan bagi pembinaan Hospital Kampar.

Dalam satu kenyataan hari ini, jurucakap MCA Mike Chong berkata Zhemin telah diberikan banyak peluang untuk meminta maaf, tetapi dia tidak menjawab walaupun laporan polis dibuat terhadapnya.

"Nasihat kami tidak diendahkan. Untuk mengakhiri kegilaan ini, kami mengambil langkah undang-undang untuk menegakkan kebenaran," kata Mike.

Dalam surat itu, yang dilihat oleh Malaysiakini, Zhemin diberikan tujuh hari untuk meminta maaf dan menarik balik kenyataannya.

Surat bertarikh 8 Januari itu berkata Zhemin juga harus membayar ganti rugi kerana didakwa memfitnah MCA dan memberikan janji bertulis untuk tidak mengulangi dakwaannya.

"Jika gagal berbuat demikian, anak guam kami dengan tegas mengarahkan untuk meneruskan prosiding undang-undang tanpa notis lanjut kepada anda, di mana anda akan dikenakan biaya tambahan," kata surat yang dihantar melalui firma undang-undang Ang & Co.

Surat itu merujuk kepada tulisan blog Zhemin yang diterbitkan pada 3 Jan yang bertajuk 'MCA hijack RM150 million allocation by cancelling Kampar government Hospital to build UTAR private hospital' (MCA membolot peruntukan RM150 juta dengan membatalkan hospital kerajaan Kampar untuk membina hospital swasta UTAR).

"Kenyataan itu merupakan fitnah yang sangat serius terhadap anak guam kami, menghina dan menjejaskan imejnya.

"Mereka telah menyebabkan kesusahan dan tekanan ke atas anak guam kami," kata surat itu lagi.

Ia juga merujuk kepada artikel Malaysiakini yang diterbitkan pada 7 Januari di mana Kementerian Kesihatan menafikan MCA telah menyalahgunakan RM150 juta yang diperuntukkan untuk hospital itu kerana wang itu tidak pernah dikeluarkan selepas pembatalan projek berkenaan.

Untuk rekod, Zhemin mempertahankan dakwaannya dan berkata kenyataan kementerian tidak bercanggah dengan dakwaannya.

Dalam maklum balas segera terhadap surat itu, Zhemin berkata ia hanyalah usaha MCA untuk membungkamnya dengan tindakan undang-undang.

Zhemin berkata beliau akan mengeluarkan respons rasmi berhubung surat itu sebaik sahaja menerimanya dan akan berunding dengan peguamnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS