Hasrat seorang pekerja kilang untuk membuat pinjaman sebanyak RM15,000 tidak kesampaian apabila dia ditipu, malah rugi lebih dua kali ganda daripada jumlah yang ingin dipinjam.

Mangsa berusia 33 tahun itu kerugian RM40,780 akibat diperdayakan syarikat pemberi pinjaman kewangan yang kononnya menjalin kerjasama dengan sebuah bank di negara ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa mendakwa mengetahui mengenai perkhidmatan pinjaman itu selepas melayari laman sosial pada 29 Dis lepas dan tertarik untuk membuat pinjaman.

Katanya, mangsa kemudian menghubungi nombor telefon yang diiklankan dalam laman sosial itu dan dijawab oleh seorang lelaki yang menerangkan terma dan syarat pinjaman.

“Mangsa yang bersetuju dengan syarat itu diminta untuk membayar RM500 dikatakan sebagai bayaran insurans selain turut menyerahkan maklumat peribadinya menerusi WhatsApp.

“Suspek bagaimanapun semakin kerap meminta wang atas pelbagai urusan lain sehingga mangsa menyedari dia telah membuat sembilan transaksi bayaran secara dalam talian melebihi jumlah yang mahu dipinjam,” katanya kepada pemberita di Kuantan, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa cuba mendapatkan penjelasan daripada suspek semalam, namun berasa curiga dengan jawapan itu selain bimbang maklumat peribadi dirinya disalah guna suspek.

Sehubungan itu, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh dekat sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

- Bernama