Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NUTP harap Dr M teruskan agenda pendidikan Maszlee

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berharap berharap tiada lagi perubahan dasar pendidikan dalam masa terdekat ini selepas Dr Mahathir Mohamad diumumkan memangku jawatan menteri pendidikan.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata guru-guru telah “trauma” dengan pelbagai perubahan baru setiap kali menteri bertukar.

Sebaliknya, Aminuddin berharap Dr Mahathir meneruskan agenda yang diketengahkan bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik yang dilihat baik untuk para guru, seperti pengurangan beban tugas guru.

“NUTP amat berharap tidak akan ada perubahan dasar pendidikan negara dalam masa terdekat kerana guru guru sudah "trauma" dengan situasi berlaku perubahan dasar setiap kali berubah menteri pendidikan,” katanya kepada Malaysiakini.

Selain itu, Aminuddin turut memetik isu lain termasuk talian internet di sekolah, isu bekalan dan penyelenggaraan peralatan teknologi berasaskan maklumat (ICT) di sekolah, isu guru ‘duka lara’, dan agenda, memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara.

Dasar pendidikan negara menyaksikan beberapa pertukaran ketara, termasuklah berhubung dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pada 2009, apabila Muhyiddin Yassin menjadi menteri pendidikan, dasar itu dimansuhkan. Dasar itu dicetuskan Dr Mahathir ketika menjadi perdana menteri pada 2003.

Selesaikan isu Jawi

Mengulas lanjut, Aminuddin berharap Dr Mahathir selaku pemangku jawatan menteri pendidikan dapat menyelesaikan "isu pendidikan yang dipolitikkan", termasuk berkaitan pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Beliau yakin dengan ketokohan perdana menteri itu, selain pengalaman menggalas portfolio kementerian berkenaan sebelum ini, mampu melonjakkan kecemerlangan pendidikan negara.

Dr Mahathir pernah menyandang jawatan tersebut menteri pendidikan pada 1974 sehingga 1977 sewaktu pentadbiran Abdul Razak Hussein dan Hussein Onn.

“NUTP juga berharap agar ketegasan Dr Mahathir yang dikenali dan difahami rakyat itu dapat diterjemahkan dalam menyelesaikan isu pendidikan yang dipolitikkan seperti isu jawi di SJKC dan SJKT serta isu sekolah vernakular,” katanya.

Kementerian Pendidikan memperkenalkan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular dan ia bersifat pilihan. Hanya tiga halaman diperuntukkan bagi pembelajaran asas tersebut.

Bagaimanapun ia mendapat tentangan hebat beberapa pihak, termasuk kumpulan Dong Zong dan Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat).

Kemelut itu juga didakwa antara sebab Maszlee melepaskan jawatan sebagai menteri pendidikan minggu lalu.

Aminuddin turut mencadangkan supaya Dr Mahathir dapat memecahkan Kementerian Pendidikan yang dilihat sangat besar ketika ini, kepada dua iaitu Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Kementerian itu disatukan selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pusat pada Mei 2018.

Semalam, Dr Mahathir diumumkan akan memangku jawatan menteri pendidikan.

Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan Pejabat Perdana Menteri tengah hari ini, ia hanya buat sementara waktu.

Lihat Komen
ADS