Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: Tak timbul isu tak cukup katil rawat Influenza A

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata tidak timbul isu katil hospital kerajaan tidak cukup, dalam isu penularan virus Influenza A pada masa ini.

Beliau berkata setiap pesakit dirawat berdasarkan keadaan mereka, misalnya sama ada perlu pemeriksaan sahaja atau perlu dimasukkan ke wad.

"Ada beberapa dakwaan itu (tak cukup katil). Buat masa ini tidak timbul isu penolakan pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan bagi gejala jangkitan influenza di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara.

"Perkhidmatan kepada pesakit pastinya akan mengambil kira pelbagai aspek berkaitan gejala jangkitannya, yang tentunya selaras dengan keadaan semasa mereka ketika datang untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Beliau menjawab soalan berhubung laporan hospital kerajaan dan swasta yang tidak ada katil dan bekalan ubat yang mencukupi untuk merawat mereka yang dijangkiti influenza A.

Menurut Free Malaysia Today pada 9 Januari lalu, hospital kerajaan dan swasta sekitar Lembah Klang tidak dapat menerima pesakit dijangkiti virus itu akibat kekurangan ubat dan katil.

Menurut laporan itu, pemeriksaan mendapati sejumlah hospital, antaranya Hospital Assunta dan Pusat Perubatan Thomson di Petaling Jaya, sudah kehabisan katil, manakala Pusat Pakar Damansara menunggu bekalan ubat.

Berkenaan bekalan ubat pula, Dzulkefly dalam satu kenyataan berkata fasiliti kesihatan swasta yang berdepan masalah itu sebelum ini telah mula menerima bekalan masing-masing.

"Bagi fasiliti KKM pula, Pharmaniaga memberi jaminan stok ubat antiviral akan terus dibekalkan tanpa gangguan, bagi memastikan bekalan mencukupi setiap masa," katanya lagi.

Berhubung gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) agar influenza A dimasukkan dalam senarai penyakit berjangkit yang diberi cuti kuarantin untuk pelajar dan guru, beliau berkata ia di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Katanya lagi, buat masa ini ia tidak termasuk dalam senarai itu dan ia memerlukan perubahan dasar.

"Saya pastinya boleh mengangkat perkara itu untuk dinilai semula, kita sentiasa terbuka untuk pembaharuan (dan) kajian semula," katanya.

Setakat ini, cuti kuarantin melibatkan enam jenis penyakit berjangkit, iaitu penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD); demam denggi dan demam denggi berdarah; campak; cacar air; difteria dan malaria.

Lihat Komen
ADS