Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mapim tuntut G25 disiasat
Diterbitkan:  Jan 12, 2020 12:21 PM
Dikemaskini: 4:21 AM

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan ke atas kumpulan G25 selepas pertubuhan dianggotai bekas pegawai kanan kerajaan itu memberikan pandangan berhubung isu Islam.

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata siasatan berkenaan wajar dibuat untuk melihat kemungkinan G25 melanggar perlembagaan dengan kenyataan tersebut.

Dalam kenyataannya hari ini Mohd Azmi berkata Mapim membantah keras kenyataan G25 yang mempersoalkan kewujudan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Nampaknya G25 jelas mahu merungkai status Islam dan agensi-agensi yang berkaitan Islam di negara ini dengan mempertikai kedudukan agensi yang atas alasan ia bertentangan dengan perlembagaan.

"Kami mendapati mereka mahu mempolemikkan isu Islam dan bidang kuasa agensi Islam di peringkat persekutuan dan negeri untuk mengecilkan peranan Islam hanya sebagai urusan peribadi," katanya.

Semalam G25 membentangkan laporan hal berkaitan isu pentadbiran Islam. Antara lain G25 berpendapat ada banyak peruntukan undang-undang berkaitan Islam di negara ini bercanggah dengan perlembagaan.

Misalnya G25 memetik Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memberi jaminan kepada semua orang di Malaysia terhadap hak menganut, mengamalkan dan menyebarkan agamanya.

Pertahan kedudukan Islam

G25 juga memaklumkan Malaysia pernah ada undang-undang yang mengesahkan seorang itu sudah murtadt tetapi dimansuh dan digantikan dengan peruntukan undang-undang yang tidak jelas di kebanyakan negeri.

Mereka turut mendakwa penubuhan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan Jakim tidak mengikut perlembagaan kerana tiada peruntukan disediakan untuk menubuhkan organisasi tersebut.

“Bagaimanapun, kami menghargai tujuan menubuhkan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia adalah untuk mempunyai suatu agensi persekutuan bagi menyelaras dan mengalakkan penyeragaman dalam pentadbiran undang-undang Islam dalam kalangan negeri," kata laporan berkenaan.

Untuk rekod pandangan G25 bukanlah membantah penubuhan majlis tersebut atau Jakim, sebaliknya hanya menegaskan hal tersebut dari segi perlembagaan sedia ada.

Perlembagaan perlu dipinda jika ada keperluan untuk suatu agensi seperti itu," kata laporan itu lagi. 

Mohd Azmi berkata G25 kini memasukki ruang perbahasan yang sangat sensitif dan berbahaya sehingga boleh mencetuskan kekeliruan dan kemarahan umat Islam.

Dakwanya kumpulan terbabit sengaja bertindak begitu dan menonjolkan seolah-olah kedudukan Islam dan bidang kuasa agensi Islam di Malaysia adalah tidak sah.

Katanya, G25 mahu membataskan tafsiran perlembagaan mengikut faham sekular sehingga ia tarafnya diletakkan sama dengan agama lain.

Menurut Mohd Azmi lagi, G25 tidak berhak mempersoalkan kewujudan, bidang kuasa dan peranan yang diberi kepada agensi seperti Jakim kerana ia terangkum dalam makna dan konsep Islam adalah agama persekutuan.

"Kami menegaskan pihak kerajaan perlu mempertahankan kedudukan Islam dan segala pembangunan Islam di negara ini," katanya.

Lihat Komen
ADS