Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengarah mengaku tak salah guna dana yayasan beli cerut

Pengarah Yayasan Pengurusan Ilmu, Abdul Rahman Mohamed Shariff memohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah yang membabitkan RM178,049.

Walau bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan hakim Azura Alwi hari ini.

Abdul Rahman juga mengetuai Education Malaysia Global Services (EMGS), yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan.

EMGS kini sedang disiasat oleh SPRM dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Walau bagaimanapun, dakwaan hari ini adalah tertumpu kepada Yayasan Pengurusan Ilmu.

Bagi pertuduhan pertama, Abdul Rahman dikatakan memindahkan sejumlah RM150,000 daripada dana yayasan itu ke akaun syarikat miliknya, Mudra Resources Sdn Bhd pada 23 Nov, 2018.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa menyalahgunakan dana yayasan sama bernilai RM3,049 pada 24 Disember 2018 bagi tujuan pembelian satu kotak cerut Montecristo Edmundo dan satu kotak cerut Romeo y Julieta Wide Churchill.

Manakala mengikut pertuduhan ketiga Abdul Rahman didakwa menyalahgunakan dana sebanyak RM25,000 untuk membeli Rational Combi Oven & Ultravent plus Exaust Hood bagi pihak syarikat Coffee Sandwich Revival Sdn Bhd milik isterinya,pada 7 Jan tahun lalu.

Abdul Rahman didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dengan sebatan, dan denda jika sabit kesalahan.

Hakim Azura membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin.

Abdul Rahman juga diminta melaporkan diri ke pejabat SPRM di Kuala Lumpur sekali sebulan bermula Febuari depan sehingga perbicaraan selesai.

Hakim juga menetapkan 13 Feb, 2020 untuk sebutan kes.

Abdul Rahman diwakili peguam Salehuddin Saidin dan Afifudin Ahmad Hafifi manakala pendakwa raya dijalankan oleh Farah Yasmin Salleh.

Lihat Komen
ADS