Malaysiakini BERITA

Nama Jho Low diminta digugurkan atas alasan sensitiviti - saksi

Bernama

Diterbitkan

Jabatan Audit Negara (JAN) diminta menggugurkan perenggan berkaitan kehadiran nama ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2009 di dalam Laporan Akhir Pengauditan 1MDB atas alasan sensitiviti, Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu.

Bekas pengarah audit di JAN, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, 65, berkata bekas ketua setiausaha sulit kepada bekas perdana menteri Najib Razak, iaitu Shukry Mohd Salleh meminta JAN melakukan perkara itu semasa mesyuarat pada 24 Feb, 2016.

Saadatul Nafisah berkata demikian ketika membaca pernyataan saksi pada hari ketujuh perbicaraan kes Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berhubung pindaan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Saksi ketujuh pihak pendakwaan itu berkata, ia juga bagi mengelakkan fakta diputarbelitkan oleh pihak pembangkang.

"Semakan JAN mendapati bahawa penama Jho Low telah hadir semasa lembaga pengarah 1MDB meluluskan pelaburan Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana (IMTN). JAN beranggapan bahawa ia adalah sesuatu yang tidak teratur apabila penama Jho Low ada menghadiri Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah 1MDB pada masa itu sedangkan beliau tidak memegang apa-apa jawatan mahupun peranan di 1MDB," katanya.

"Pada mesyuarat 26 Feb, 2016 di pejabat JAN, pasukan khas audit 1MDB termasuk saya dan bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang telah berbincang dan Ambrin bersetuju untuk menggugurkan perenggan mengenai kehadiran Jho Low dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah bertarikh 26 Sept, 2009.

"Ini kerana, beliau menyatakan bahawa pengguguran perenggan tersebut tidak menjejaskan Laporan Akhir Audit 1MDB keseluruhannya dan pihak JAN tidak ada dokumen sokongan untuk menyatakan Jho Low benar-benar ada hadir pada Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah tersebut”.

Ketika menjelaskan lebih lanjut mengenai minit Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah bertarikh 26 Sept, 2009, saksi itu berkata nama Jho Low tertera di dalam minit mesyuarat berkenaan ketika pihaknya menjalankan proses audit dan menyemak minit-minit mesyuarat di pejabat 1MDB .

"Namun, pada masa itu, pihak JAN langsung tidak dibenarkan untuk membuat salinan atau mengambil minit tersebut keluar daripada pejabat 1MDB.

"Setelah JAN beberapa kali meminta minit mesyuarat tersebut, barulah pihak 1MDB memberikan salinan minit mesyuarat yang disahkan, namun salinan tersebut tidak lagi ada nama Jho Low dalam senarai kehadiran mesyuarat itu," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rozaliana Zakaria manakala Najib, 67, diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Arul Kanda, 44, diwakili peguam Datuk N. Sivananthan.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb, 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) dan Seksyen 28(1) (c) dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

- Bernama