Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Jakim tak halang pesta Ponggal, itu kuasa kementerian’
Diterbitkan:  Jan 15, 2020 1:21 PM
Dikemaskini: 5:41 AM

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan mereka hanya memberikan pandangan berkaitan penyertaan orang Islam dalam sambutan Ponggal dan tidak menghalangnya.

“Keputusan mengenai perkara tersebut adalah di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan.

“Jakim hanya memberikan pandangan dari sudut penglibatan orang Islam dan sama sekali tidak menghalang sambutan tersebut dilaksanakan,” kata Unit Komunikasi Korporat Jakim.

Surat 13 Januari dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada semua pengarah pendidikan negeri itu memetik pandangan Jakim bahawa haram bagi orang Islam menyertai pesta Ponggal terutamanya upacara memasak nasi susu.

Bagaimanapun, kata KPM, jika terpaksa orang Islam boleh hadir dengan syarat tidak terlibat dengan upacara keagamaan seperti memakai pakaian sami atau membuat tanda agama di dahi.

Dalam kenyataan hari ini, unit itu berkata panel pakar syariah mereka berpandangan orang Islam harus mengucapkan selamat kepada rakan dan jiran yang menyambut perayaan itu tanpa niat mengiktiraf agama mereka.

Kata Jakim lagi, umat Islam juga tidak boleh memaki dan mencaci serta menghina tuhan agama Hindu.

Jabatan itu juga menjelaskan mereka memberikan pandangan itu susulan permohonan Kementerian Pendidikan sendiri yang mahukan garis panduan kepada warga pendidikan Muslim yang terlibat dalam perayaan itu.

Pesta Ponggal ialah pesta menuai bagi masyarakat Tamil. Bagi tahun ini, tarikhnya jatuh pada hari ini.

Lihat Komen
ADS