Kerajaan jamin harga gula tidak naik
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Mohamed Shafie Apdal menjelaskan kerajaan tidak bercadang menaikkan harga runcit gula di pasaran tempatan.
Menurutnya, laporan mengenai wujudnya kekurangan bekalan gula terutamanya di utara Semenanjung bukannya tanda-tanda harga bahan kawalan itu akan dinaikkan.
" Bekalan gula sehingga kini adalah mencukupi bagi menampung keperluan negara. Laporan gula kehabisan di kawasan utara Semenanjung terutama di Kedah sejak Sabtu mungkin disebabkan kegiatan menyorok bahan itu oleh para peniaga."
" Buat masa ini harga runcit gula kekal RM1.40 sekilogram," tegasnya
kepada pemberita selepas majlis perhimpunan mesra bulanan kementerian berkenaan di Putrajaya hari ini.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, pihak kementerian telah mangadakan pertemuan dengan pihak pengilang gula dan mereka memberi jaminan bahawa bekalan gula memang mencukupi.
"Tidak ada masalah mengenai bekalan gula. Cuma kemungkinan ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba untuk menyimpan atau membeli bahan keperluan ini untuk bekalan sendiri dalam jumlah yang begitu besar," katanya.
Beliau mengulas laporan berita tv malam tadi yang menyiarkan rungutan seorang pengilang Industri Kecil dan Sederhana di Kedah mengenai kekurangan bekalan gula di negeri itu.
Shafie tidak menolak kemungkinan harga gula yang rendah berbanding negara lain boleh menyebabkan penyeludupan berlaku. Beliau berkata, kementerian akan memantau perkara ini dan menghantar pegawai penguatkuasanya ke kilang-kilang pengeluar utama untuk memeriksa bekalan gula mereka.
Terdahulu dalam ucapannya, Shafie berkata kementerian sedang mengambil langkah memendekkan masa pendaftaran secara terus sesuatu penciptaan atau harta intelek bagi tujuan dikomersilkan.
Ia bertujuan memudahkan pencipta menikmati hasil daripada penciptaan yang telah mereka daftarkan tanpa campurtangan orang ketiga yang tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan atas hasil usaha orang lain, katanya.

