Paling Popular
Terkini

PRK KIMANIS | Calon Warisan Karim Bujang dilihat kekal mendahului calon BN Mohamad Alamin dalam pilihan raya kecil (PRK) Kimanis yang memasuki hari terakhir kempen hari ini.

Ini walaupun BN menjadikan isu Pas Sementara Sabah (PSS) sebagai isu utama dengan mengadakan perhimpunan besar yang digelar sebagai Himpunan Muafakat Rakyat Sabah dan menarik kehadiran lebih 1,000 orang.

Pemimpin-pemimpin utama yang memberi sokongan kepada BN ialah bekas ketua menteri Sabah, Joseph Pairin Kitingan, anak saudaranya yang juga presiden PBS, Maximus Johnity Ongkili, abangnya dan pemimpin pembangkang Sabah Jeffrey Kitingan dan bekas anggota Parlimen Kimanis, Anifah Aman.

Himpunan bantah PSS yang dianjurkan oleh dua NGO tempatan menarik lebih 500 peserta, walaupun kebanyakan mereka bukan pengundi Kimanis.

Selain itu, BN menggunakan strategi tradisinya dengan mengadakan lebih banyak ceramah kelompok menjelang hari mengundi, dengan tidak kurang daripada lapan ceramah diadakan malam tadi.

PAS, yang merupakan rakan Umno dalam Muafakat Nasional, menghantar timbalan presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man dan setiausaha agung Takiyuddin Hassan menjelang hari mengundi.

Seorang sumber memberitahu Malaysiakini bahawa walaupun BN mengekalkan sokongan masyarakat Bumiputera Islam, ia tidak diterima baik oleh pengundi Kadazandusun Murut (KDM).

Pengundi KDM merupakan kira-kira 45 peratus daripada jumlah pengundi di Kimanis, dengan majoriti mereka dalam kategori Bumiputera bukan Islam.

Bumiputera Islam membentuk 63.16 peratus pengundi manakala Bumiputera bukan Islam terdiri daripada 30.67 peratus pengundi. Secara keseluruhan kawasan separuh luar bandar itu memiliki seramai 29,664 pengundi.

Dalam pilihan raya umum pada 2018, Anifah Aman dari BN hanya mendapat sokongan 38 peratus pengundi Bumiputera bukan Islam.

Beliau memenangi kerusi itu apabila BN mendapat sokongan 53 peratus daripada penduduk Bumiputera Islam.

Sementara itu, seorang petugas MCA berkata orang Cina tempatan, yang hanya terdiri daripada 3.59 peratus atau 1,064 pengundi, juga tidak berpuas hati dengan PSS.

"Hanya lima hingga 10 peratus pengundi Cina menyokong BN dalam undi 2018. Kali ini, undi kaum Cina dijangka kembali ke BN dan kami mensasarkan 20 peratus sokongan Cina," katanya.

"Orang Cina umumnya tidak menyukai PSS kerana mereka takut pendatang akan diberi tanah jika mereka mendapat kewarganegaraan dan mereka diklasifikasikan sebagai suku Bajau atau Sulok di bawah Perlembagaan Negeri," kata sumber itu.

Warisan tangkis isu PSS dengan baik

Bagaimanapun, Warisan dapat menangkis isu PSS dengan baik. 

Ketua Pemuda Warisan dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Mohd Azis Jamman misalnya meyakinkan para pengundi bahawa hanya pemegang asli IMM13, Kad Burung-burung dan sijil banci akan menerima PSS.

Warisan dan BN terus menyalahkan satu sama lain mengenai siapa yang memulakan pas berkenaan.

Mood dalam Warisan bertambah baik semalam, dengan ahli parti mengatakan parti pemerintah itu masih mendahui, berdasarkan sumber risikannya.

Sumber itu berkata Warisan, yang mendahului selepas hari penamaan calon pada 4 Jan lalu dengan anggaran sokongan 55 peratus, berada dalam kedudukan lebih selesa selepas memasuki minggu kedua kempen.

Kempen yang dijalanakn menunjukkan Warisan lebih popular di kalangan pengundi muda dan kelas pekerja, sementara pengundi lebih tua masih menyokong BN.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Junz Wong juga berjaya menjelaskan pelbagai projek pertanian kepada para pengundi, yang majoritinya adalah petani dan nelayan.

Warisan diramal menang

Satu tinjauan dijalankan oleh Ilham Centre yang dikeluarkan semalam mendapati Warisan lebih cenderung memenangi PRK ini memandangkan Karim lebih popular daripada calon BN dan PSS tidak lagi menjadi masalah penting kepada para pengundi.

Bercakap kepada Malaysiakini, penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya (UM), Awang Azman Awang Pawi bersetuju dengan dapatan bahawa Warisan mungkin menang, tetapi dengan majoriti kurang daripada 1,500 undi.

Awang Azman berkata ini kerana pengundi di Kimanis percaya Warisan mampu membawa pembangunan ke kawasan yang berasaskan pertanian itu.

"Rakyat mahu pembangunan ekonomi yang lebih baik di Kimanis dan mahukan jenis projek yang sama-sama memberi manfaat kepada masyarakat setempat, bukan projek mega jutaan ringgit yang mereka tidak dapat merasakan faedahnya," katanya.

Beliau menjangkakan pengundi Bumiputera Islam akan terus menyokong BN, sementara masyarakat KDM akan menjadi kuasa penentu atau 'kingmaker'.

Adalah menarik untuk diperhatikan sekiranya pengundi muda yang tinggal di luar kawasan akan terus mengundi Warisan, seperti yang mereka lakukan pada pilihan raya umum 2018. 

Atau sebaliknya jika mereka terkesan oleh isu-isu nasional dan akhirnya beralih kepada BN, seperti pengundi muda dalam PRK Tanjung Piai, kata Awang Azman.

Dilaporkan hampir 30 peratus pengundi berada di luar Kimanis, dengan 2,000 di Kota Kinabalu, 800 bekerja di Labuan dan selebihnya tinggal di Kuala Lumpur dan Singapura.

[Baca berita penuh]



Lihat Komen
ADS