Dewan Rakyat tolak usul rujuk MP Jasin ke jawatankuasa Parlimen
Dewan Rakyat hari ini menolak usul untuk merujuk Datuk Mohamad Said Yusof (BN-Jasin) kepada Jawantankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Dewan Rakyat hari ini menolak usul untuk merujuk Datuk Mohamad Said Yusof (BN-Jasin) kepada Jawantankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Usul yang dikemukakan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) adalah bagi membolehkan jawatankuasa berkenaan menyiasat sama ada Mohd Said telah melanggar hak keistimewaannya sebagai ahli Parlimen.
Lim merujuk kepada laporan New Straits Times dan Berita Harian mengenai tindakan Mohd Said yang menyuruh Jabatan Kastam dan Eksais "menutup sebelah mata" dalam kes import kayu balak bergergaji di Melaka.
Lim berkata, usul itu dikemukakan hari ini memandangkan Mohd Said telah membuat pengakuan secara terbuka di luar dewan dan disiarkan akhbar tempatan Jumaat lalu.
Menurut laporan Bernama, ketika menolaknya, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Ramli Ngah Talib berkata, usul di bawah Peraturan Mesyuarat 26 (1P) yang dikemukakan Lim itu, tidak memenuhi syarat usul tanpa notis kerana kejadian itu telah lama berlaku.
Ramli berkata, usul tanpa notis boleh dibawa dengan syarat kejadian yang berkaitan itu berlaku semasa usul dibuat atau seketika sebelum usul dibuat.
"Apa yang berlaku di sini perkara itu berlaku nun jauh pada bulan April, dan nun jauh di Melaka. Kejadian ini berlaku bukan semasa usul dibuat atau seketika usul itu dibuat. Maka saya dengan ini menolak usul ini dibawa untuk dipertimbangkan oleh dewan," katanya.
Khamis lalu, Lim mengemukakan usul berkaitan perkara sama yang meminta akhbar NST dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen dan usul itu ditolak dengan undi majoriti, menyebabkan Datuk Shahrir Abdul Samad melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC).

