Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Latheefa sedia beri kerjasama pada polis kes komplot sasar dirinya
Diterbitkan:  Jan 17, 2020 10:30 PM
Dikemaskini: 3:57 PM

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata akan memberikan kerjasama kepada polis sekiranya dipanggil bagi membantu siasatan berhubung dakwaan wujud komplot menyebarkan tohmahan terhadapnya dan suruhanjaya itu.

"Mereka (polis) mungkin akan panggil saya, dan saya akan beri kerjasama," katanya seperti dipetik Bernama.

Menurut Latheefa, polis mungkin akan merekod kenyataannya susulan Pegawai Khas Undang-undangnya Shasha Lyna telah memfailkan laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, Selasa lepas, berhubung dakwaan wujud komplot berkenaan.

Bernama melaporkan Latheefa memaklumkan kertas siasatan mengenai kes komplot itu telah dibuka dan polis juga telah mengambil kenyataan Sasha Lyna.

"Kami sangat gembira dengan kerjasama yang diberikan (polis),” kata Latheefa.

Menurut laporan polis yang dibuat Sasha itu, pada malam 10 Januari iaitu dua hari selepas sidang media SPRM yang mendedahkan rakaman audio itu, satu gambar berkaitan dengan Latheefa diterima menerusi Whatsapp.

Bercakap dengan pemberita, Sasha Lyna berkata ia dipercayai sebagai satu bentuk gangguan.

“Memang menyebarkan tohmahan untuk jatuhkan integriti dan maruah KP (ketua pesuruhjaya).

“Dan kami percaya ini satu intimidasi kepada KP atas apa telah dilakukan pada sidang media (8 Januari),” katanya.

Sasha Lyna berkata, dia juga menyerahkan bukti dakwaan konspirasi itu dan nama individu termasuk peguam yang dipercayai terlibat, kepada polis.

Bagaimanapun dia enggan mendedahkan nama individu tersebut kepada media.

Terdahulu Latheefa bersama Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki hadir Majlis Paluan Berundur di Putrajaya.

Ia majlis meraikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Ja'afar Mahad yang akan bersara wajib berkuatkuasa 20 Januari depan dan digantikan Junipah Wandi.

Junipah, 51, sebelum ini adalah Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi SPRM. 

Lihat Komen
ADS