Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mahkamah setuju 6 tuduhan terhadap suspek sokong LTTE didengar bersama

Mahkamah hari ini bersetuju untuk mendengar secara bersama enam pertuduhan terhadap A Kalaimughilan yang didakwa menyebarkan, mempunyai item dan gambar berkaitan kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Peguamnya, T Rajasekaran berkata, Hakim Aslam Zainuddin menetapkan 11 Februari depan untuk kesemua kes didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Pihak pendakwa raya memohon mahkamah untuk mengabungkan kesemua kes anak guam kami (Kalaimughilan) untuk didengar bersama. Kami bersetuju untuk gabungkan kesemua kes ini. 

"Seterusnya, mahkamah menetapkan 11 Februari untuk pengurusan kes didengar di Mahkamah Tinggi Jenayah 6," katanya kepada Malaysiakini.

Tambahnya, pihak peguambela juga akan memohon jaminan terhadap penahanan Kalaimughilan.

Pada 29 Oktober lalu, Kalaimughilan, 29 dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan memiliki item berkaitan kumpulan LTTE di sebuah rumah di Jalan Anggerik 5D, Bukit Sentosa, Rawang dan di dalam sebuah kereta di tempat sama, pada jam 9.30 pagi dan jam 12.35 tengah hari, 10 Oktober lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Selayang, Maziah Joary Mohd Taudi kemudian membenarkan kes tersebut dipindahkan ke mahkamah tinggi.

Semua pertuduhan terhadap Kalaimughilan dikemukakan mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Kalaimughilan yang menjalankan perniagaan besi buruk turut menghadapi empat pertuduhan lain termasuk mempunyai buku tentang ketua LTTE V Prabhakaran, serta membuat hantaran berkaitan LTTE di Facebook.

Sementara itu, peguamnya mendakwa pertuduhan oleh pihak pendakwa raya sebagai tidak lengkap.

"Saya terkejut mendapati kertas pertuduhan tidak lengkap. Dalam satu tuduhan dikatakan bahawa Kalaimughilan mempunyai dua 'item'. Tetapi, tidak menjelaskan apakah item yang dimaksudkan," kata Rajaksekaran.

Selain Kalaimughilan, MIC turut memberikan khidmat guaman percuma untuk tahanan S Theeran, M Pumugen dan S Thanagaraj.

Polis sebelum ini menahan 12 individu termasuk dua Adun DAP kerana disyaki terbabit dalam LTTE mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Lihat Komen
ADS