Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Calon pemilihan Bersatu diingatkan jauhi politik wang, salah guna kuasa

Calon bagi pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan supaya tidak mengamalkan politik wang dan salah guna kuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu Syed Hamid Albar berkata sekiranya terdapat aduan munasabah, pihaknya berhak menolak pencalonan dan mengetepikan individu berkenaan daripada bertanding.

“Saya fikir boleh berkempen sejajar dengan amalan demokrasi tapi jangan mengamalkan kemewahan, jangan amalkan politik wang dan kalau yang berkuasa jangan salah guna kuasa ...perkara paling penting adalah jangan beli undi," katanya pada sidang media di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Menurutnya, calon yang bertanding juga perlu mengelak daripada menaja mana-mana pihak seperti untuk mengerjakan umrah atau pergi bercuti dan sebagainya.

"Pergi tempat dekat-dekat seperti Bangkok, Manila pun tak boleh...(bawa) main golf pun tak boleh,” tegas Syed Hamid.

Menjawab pertanyaan pemberita, Syed Hamid menjelaskan bekas ahli Umno yang berhasrat menjadi calon perlu menjadi ahli Bersatu sekurang-kurangnya setahun sebelum boleh berbuat demikian.

Bagi jawatan tertinggi parti seperti pengerusi, presiden dan timbalan presiden, individu yang ingin menjadi calon perlu menjadi ahli parti sekurang-kurangnya tiga tahun.

Mesyuarat cawangan Bersatu dijadual diadakan pada 15 Feb hingga 29 Mac, disusuli mesyuarat peringkat bahagian pada 18 April. Perhimpunan agung Bersatu pula ditetapkan dari 25 sehingga 28 Jun.

- Bernama

Lihat Komen
ADS