Malaysiakini BERITA

Bekas tahanan ISA ditangkap curi wang masjid

Bernama

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pernah dihukum buang daerah kerana kesalahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 2016 serta mempunyai 13 rekod jenayah lampau belum cukup untuk menginsafkan seorang lelaki apabila dia ditahan lagi kerana mencuri wang tabung masjid pula.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Barudin Wariso berkata setelah disoal siasat, suspek yang berusia 53 tahun itu mengaku terlibat dalam sekurang-kurangnya lapan kes kecurian wang tabung masjid dan kecurian peralatan dalam masjid di beberapa daerah di sekitar Perak dan Kedah sejak pertengahan tahun lepas.

Barudin berkata polis menahan lelaki itu di Semanggol, Kerian pada pukul 6.45 petang Jumaat lepas dan merampas sebuah kereta jenis Proton Iswara serta beberapa barangan termasuk pita pelekat serta sejumlah wang daripadanya.

“ Suspek ditahan susulan laporan seorang lelaki berhubung kecurian wang tabung Masjid Shukuriah, Telok Bakong, Bota pada 8 Jan lepas,” katanya dalam satu kenyataan di Ipoh hari ini.

Beliau berkata suspek mengaku menggunakan sekeping plastik panjang yang dililit dengan pita pelekat untuk memancing wang dalam tabung masjid.

Katanya suspek yang berasal dari Kampung Changkat Siputeh di sini juga merupakan individu dikehendaki polis atas kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Suspek kini tahan reman di lokap Balai Polis Seri Iskandar, Perak Tengah.

- Bernama