Paling Popular
Terkini

ULASAN | Menurut laporan buletin suku tahunan terkini (Suku Ketiga, 2019) oleh Bank Negara Malaysia, “Import Makanan dan Kadar Pertukaran”, Malaysia kekal sebagai pengimport makanan dengan sekurang-kurangnya seperempat daripada jumlah keseluruhan bekalan makanan (24 peratus) diimport. Ini bermakna Malaysia masih lagi tidak mencapai tahap keberdikarian (self-sufficiency) dalam bekalan makanan.

Jumlah import makanan pada 2018 bernilai RM54 bilion berbanding 2013 yang berjumlah RM43 bilion, mencerminkan peningkatan kadar pertumbuhan kompaun tahunan sebanyak lima peratus sepanjang lima tahun.

Sementara itu, eksport makanan dan minuman pada 2018 juga meningkat dengan pantasnya (purata 6 peratus), berjumlah RM35 bilion berbanding dengan RM26 bilion pada tahun 2013. Namun, nilai import melebihi nilai eksport.

Laporan tersebut juga menekankan secara keseluruhan, Malaysia mempunyai tahap keberdikarian yang mencukupi terhadap permintaan domestik dalam pelbagai barangan makanan asas.

Daripada 33 produk pertanian yang paling lazim digunakan (terung, timun, bayam dan telur), separuh dari jumlah makanan ini mempunyai nisbah pencapaian keberdikarian (self-sufficiency ratio, SSR) lebih daripada 100 peratus, dengan timun (118 peratus), terung (116 peratus), bayam (116 peratus), telur (116 peratus), kacang panjang (111 peratus), bendi (107 peratus), nanas (106 peratus), sotong (105 peratus), pisang (103 peratus) dan udang (103 peratus).

SSR untuk daging, ayam dan tuna pula berjumlah 98 peratus – dua produk import makanan terendah, diikuti dengan ketam (93 peratus), ikan kembung (83 peratus), kelapa (78 peratus), beras (70 peratus), kubis (42 peratus), cili (39 peratus), daging lembu (25 peratus), mangga (25 peratus) dan daging kambing (11 peratus).

Seperti yang dinyatakan di atas, ramai rakyat Malaysia yang memakan banyak produk makanan tertentu (seperti cili, daging merah, mangga). Oleh itu, apakah sebab di sebalik corak kebergantungan ini?

Realitinya adalah majoriti rakyat Malaysia lebih cenderung untuk berbelanja produk import berbanding produk tempatan, seperti yang disuarakan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ketidakcekapan pengurusan pengeluaran hasil pertanian

Dalam hal ini, kadar import yang tinggi menunjukkan bahawa wujud permintaan produk makanan yang tinggi dalam negara yang pasaran tempatan tidak mampu untuk memenuhi kadar permintaan tersebut.

Secara teorinya, permintaan yang tinggi untuk sesuatu produk akan mendorong pengeluaran atau bekalan yang lebih tinggi. Namun, apabila berlaku peningkatan dalam permintaan produk tempatan, mengapa ia mengambil masa yang begitu lama untuk bekalan produk itu bertambah?

Boleh dikatakan ia disebabkan oleh ketidakcekapan dalam pengurusan pengeluaran hasil pertanian, termasuk rangkaian pengedaran dan keseluruhan rantaian bekalan, serta kebergantungan yang obsesif terhadap lokasi tanah penanaman tertentu seperti di Cameron Highlands yang kini membekalkan 10 peratus daripada jumlah sayur-sayuran di semenanjung.

Antara ladang di Cameron Highland, gambar hiasan

Antara faktor-faktor dalam pengeluaran pertanian selain daripada bahan mentah, buruh, utiliti dan logistik adalah lapisan-lapisan yang melibatkan pengeluar, pemborong, peruncit dan pengguna, yang semuanya mempengaruhi kos dan harga akhir sesebuah produk makanan tersebut.

Di samping itu, kekurangan skala ekonomi dalam proses pengeluaran dan kerumitan dalam rantaian bekalan domestik telah menghalang tercapainya kadar keberdikarian negara dalam bekalan makanan.

Skala ekonomi dapat dicapai apabila lebih banyak unit sesuatu produk boleh dihasilkan dengan kos input yang semakin berkurangan. Sekira skala ekonomi gagal dicapai, hasilnya ialah firma-firma akan memasukkan kos pengeluaran yang tinggi itu ke dalam harga akhir produk mereka.

Oleh kerana kos pengeluaran produk tempatan melibatkan kos yang tinggi, pendekatan yang lebih praktikal adalah mengimport dengan jauh lebih murah barangan makanan dari luar negara.

Berdasarkan tinjauan oleh Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) pada awal tahun ini, 85 peratus pengilang Malaysia dilaporkan mengalami kenaikan kos pengeluaran sebanyak 10 peratus akibat cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dikenakan ke atas bahan mentah, komponen dan perkhidmatan.

Ini bermakna untuk produk makanan dan minuman yang mempunyai kandungan pengeluaran domestik yang agak tinggi, langkah fiskal seperti SST boleh menaikkan kos.

Justeru itu, untuk meningkatkan keberdikarian negara dalam bekalan makanan, mungkin para pengilang dapat diberi pengecualian cukai atau dikenakan tarif yang rendah untuk bahan mentah dan separuh mentah yang diimport bagi tujuan pengeluaran makanan tempatan.

Reformasi cukai tanah

Terdapat juga keperluan dalam memberi tumpuan kepada dasar memastikan lebih banyak tanah untuk pengeluaran makanan melalui reformasi cukai tanah dan skim pengagihan tanah seperti yang dilakukan oleh Felda. Namun, fokusnya adalah untuk mempromosikan keberdikarian negara dalam bekalan makanan, dan bukan untuk mengeksport tanaman komoditi tempatan untuk pertukaran asing.

Antara langkah-langkah lain dalam meningkatkan tahap keberdikarian adalah :

• Tanah yang ditukarkan penggunaannya untuk tujuan pertanian hendaklah tertakluk kepada bayaran premium yang lebih rendah kepada kerajaan negeri. Akta Pengambilan Tanah 1960 hendaklah digunakan untuk meningkatkan pengeluaran pertanian;

• Amat penting juga ialah proses digitalisasi pertanian yang membolehkan daya penghasilan (productivity) yang lebih tinggi, hasil dan kualiti pengeluaran makanan yang lebih tinggi, dan mengenalpasti tapak yang sesuai atau yang diperuntukkan untuk pertanian; dan

• Pelaksanaan teknologi pintar melalui AgTech (teknologi pertanian) yang akan merevolusikan pertanian. Pelaksanaan teknologi ini mempunyai potensi yang sangat besar untuk pertanian pintar di Malaysia apabila penggunaan internet untuk segalanya (Internet-of-things, IoT) telah digunakan dalam penanaman padi.

Bahkan juga, lebih banyak lagi yang dapat dilakukan untuk memperluaskan penggunaan teknologi pintar dalam bidang lain seperti penanaman cili, bawang merah dan daging ternakan.

Inovasi seperti pertanian terperinci (precision farming) juga akan memberi kesan terhadap pengurangan beban kerja manual petani apabila digitalisasi dan teknologi pintar akan mengambil alih peranan mereka. Contohnya, dron telahpun digunakan untuk tujuan penyemburan di sawah padi. Selain itu, IoT boleh digunakan untuk mengukur dan menyediakan data sebenar terkini bagi petani dalam menentukan tahap pengairan dan baja mereka.

Bercakap mengenai pertanian dari segi konvensional, kita tidak boleh mengabaikan vertical farming yang sememangnya harus digalakkan di kawasan bandar. Ini boleh diaplikasikan dengan mengubah bangunan-bangunan lama dan baharu kepada kawasan pengeluaran bekalan makanan. Umpamanya, tingkat tertentu di bangunan-bangunan tinggi juga perlu diperuntukkan untuk pertanian sayur-sayuran.

Di negara jiran kita, Singapura, pertanian langit (sky farming) sudah diterapkan untuk memenuhi keperluan makanan negara mereka dan memastikan sekuriti makanan. Budaya perladangan mereka juga bergantung kepada hydroponics dan aeroponics.

Secara dasarnya, hydroponics menggunakan kaedah pertanian yang berasaskan air dan nutrien pekat yang tidak memerlukan penggunaan tanah. Ia menggunakan bahan-bahan bukan organik seperti perlite, rockwool, pelet tanah, lumut gambut atau vermiculite.

Sementara itu, aeroponics pula menggunakan proses tumbuh-tumbuhan diletakkan di dalam persekitaran udara yang sejuk dan berkabus. Ia mempunyai konsep yang sama seperti sistem hydroponics, namun aeroponics membiarkan akar tumbuh-tumbuhan tersebut di udara. 

Malah, tumbuh - tumbuhan tersebut akan disiram secara berkala menggunakan alat rias yang direka khas.

Kedua-dua kaedah inovasi ini mampu memainkan peranan dalam menyelesaikan masalah kekurangan tanah dalam pertanian.

Sementara itu, sebagai respons terhadap dasar-dasar import masa kini, Mahathir juga turut menyatakan bahawa beliau akan menyemak semula dasar yang sedia ada yang dilihat menggalakkan import daripada eksport, di mana beliau akan melaksanakan penstrukturan baru berkaitan dengan sistem cukai.

Sebagai rumusan, faktor-faktor langkah fiskal, reformasi tanah, teknologi pintar dan vertical farming, akan dapat membantu Malaysia dalam menangani isu kebergantungan negara terhadap makanan import.


JAMARI MOHTAR dan ALISSA AZIZI adalah sebahagian daripada pasukan penyelidik dari EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS