Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Akta air dipinda bagi tingkatkan penguatkuasaan pencemaran sumber air

Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) akan dipinda bagi mempertingkatkan penguatkuasaan dalam membendung insiden pencemaran sumber air, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar.

Beliau berkata Jawatankuasa Tindakan dan Pemantauan Pencemaran Sumber Air dalam mesyuarat pertamanya di Putrajaya hari ini bersetuju Akta 655 itu dipinda bagi memantapkan aspek penguatkuasaan antaranya berkaitan kuasa menahan orang dan merampas kenderaan yang disyaki mencemarkan lurang kumbahan.

"Jawatankuasa juga mahu denda lebih tinggi dikenakan bagi kesalahan pembuangan kumbahan dan sebagainya ke lurang kumbahan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu, yang ditubuhkan susulan insiden pencemaran sumber air melibatkan Sungai Selangor pada Julai tahun lepas.

Ia dianggotai wakil Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC); Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); Polis Diraja Malaysia; Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta wakil beberapa negeri.

Jawatankuasa itu berperanan menyelaras kerjasama antara agensi yang terlibat dalam melaksanakan penguatkuasaan selaras dengan bidang kuasa masing-masing secara bersepadu.

Xavier berkata pindaan itu dijangka dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat Oktober depan.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian itu sedang menggiatkan usaha mengumpul data syarikat industri bagi mengekang insiden pencemaran sumber air di Selangor.

Bagi tujuan itu, katanya Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) telah diarahkan supaya mengumpul data berkaitan jenis perusahaan dan sisa buangan dari perusahaan dan melalui data tersebut, tindakan segera dapat diambil terhadap pihak berkenaan sekiranya berlaku pencemaran di loji IWK.

- Bernama

Lihat Komen
ADS