Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini selepas dituduh menipu seorang ahli perniagaan berjumlah bagi mendapatkan gelaran Datuk Seri dan Datuk.

Syed Abu Bakar Syed Alwi, 60, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Tertuduh didakwa telah menipu Low Leek Tjet, 43, dengan memperdayakan ahli perniagaan terbabit dengan menawarkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri dan Datuk dari Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak yang sebenarnya tidak wujud.

Oleh itu tertuduh dengan curangnya telah mendorong mangsa menyerahkan wang secara berperingkat berjumlah RM907,700 yang mana beliau tidak akan menyerahkan wang tersebut jika tidak diperdaya oleh tertuduh.

Syed Abu Bakar dituduh melakukan perbuatan tersebut di Taman Sri Gombak, Selangor, antara 11 Okt 2017 dan 8 Jan 2019. Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan denda jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie menawarkan jaminan RM90,000 dengan seorang penjamin terhadap bapa kepada tiga anak itu.

Peguam Nur Aida Md Zainuddin yang mewakili Syed Abu Bakar kemudian merayu jaminan yang rendah dengan alasan tertuduh kini tidak bekerja dan menanggung tiga anak yang masih bersekolah.

“Tertuduh juga menghidapi pelbagai penyakit, kencing manis, batuk kering dan pernah di serang angin ahmar sebanyak tiga kali.

“Tertuduh tidak mempunyai wang bagi membayar jaminan cuma ada geran tanah untuk dicagarkan pada mahkamah. Tertuduh juga memberi kerjasama yang baik dengan pihak polis,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM70,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri setiap 1 haribulan di balai polis berdekatan sehingga kes selesai dan dilarang mendekati saksi-saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 12 Feb bagi sebutan semula kes berkenaan.

- Bernama