Paling Popular
Terkini

Peguam veteran, Muhammad Shafee Abdullah enggan mengulas berhubung permohonan Najib Razak agar penasihat DAP, Lim Kit Siang mengemukakan surat tunjuk sebab berhubung artikel dalam talian berkaitan kes SRC International yang dihadapi anak guamnya itu.

Shafee memberitahu media pagi ini bahawa mereka tidak dibenarkan berkata apa-apa selepas menemui Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali di kamarnya pagi ini.

"Kami tidak dibenarkan untuk berkata apa-apa. Tiada pendedahan. Kita tidak dapat beritahu anda (media) apa yang berlaku (di dalam kamar Nazlan), "kata Shafee.

Awal pagi ini, Shafee dilihat memasuki kamar Nazlan pada jam 9.45 pagi dan keluar kira-kira 45 minit kemudian.

Satu sumber yang tak mahu namanya disiarkan berkata tarikh pengurusan kes baru untuk surat tunjuk sebab itu akan ditetapkan kemudian agar surat itu boleh difailkan.

Sumber itu berkata pemfailan semula itu berikutan keputusan dibuat oleh Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, sumber itu tidak memberitahu apakah keputusan berkenaan secara khusus atau apakah kesannya terhadap permohonan Najib.

Pada 29 Nov, Shafee dilaporkan berkata bahawa Najib memfailkan permohonan agar Lim, sebuah portal berita dan wartawannya menunjukkan surat tunjuk sebab mengapa mereka tidak boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Ia berkaitan laporan portal Malay Mail bertajuk “Kit Siang: High Court decision on Najib and Tanjung Piai by election-outcome will indicate where Malaysia headed towards” yang dimuat naik pada 9 Nov.

Pemohon mendakwa artikel itu dibuat untuk memberi tekanan kepada mahkamah tinggi dalam keputusannya berhubung kes SRC International.

Pada 11 November, hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengarahkan Najib untuk membela diri terhdap tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram berkaitan dana SRC International - dahulunya subsidiari 1MDB - berjumlah RM42 juta.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS