Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Sarawak sudah mula ajar Sains, Matematik dalam bahasa Inggeris tahun ini'
Diterbitkan:  Feb 2, 2020 1:32 PM
Dikemaskini: 5:32 AM

Memandangkan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sudah mula diajar di peringkat sekolah rendah di negeri Sarawak, sebarang langkah baru untuk mengembalikan dasar itu di peringkat persekutuan bukan masalah besar buat pelajar Sarawak.

Menteri Penyelidikan Sains dan Teknologi Sarawak, Michael Manyin Jawong berkata bahawa dasar itu telah dilaksanakan sejak permulaan sekolah tahun ini, seperti dipetik portal Malay Mail.

“Ya, kita sudah menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik berkuat kuasa bulan ini.

“Jadi untuk kami (Sarawak) tiada isu. Saya ragu sama ada dia (Dr Mahathir Mohamad) boleh meyakinkan ibu bapa (negeri lain) seperti yang dia lakukan pada masa lalu, "katanya seperti dipetik oleh The Borneo Post hari Jumaat lalu.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan telah meneliti kembali PPSMI - yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 2003 semasa beliau memegang jawatan menteri pendidikan.

Dr Mahathir, yang kini merupakan pemangku menteri pendidikan, dilaporkan membuat kenyataan tersebut semasa mesyuarat khas kementerian itu pada hari Khamis lalu.

Sebuah video yang memaparkan kenyataan Dr Mahathir pada mesyuarat itu telah dimuat naik menerusi akaun Youtube rasmi pada hari Jumaat, namun ia tidak memperincikan bagaimana atau bila dasar pengajaran itu akan dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Michael berkata bahawa pihak kementeriannya bersama Jabatan Pendidikan Sarawak sedang memantau program pengajaran dua mata pelajaran tersebut dalam Bahasa Inggeris untuk enam bulan pertama.

Menurut laporan itu, Michael pada November tahun lalu menjelaskan bahawa kerajaan Sarawak setakat ini membelanjakan sejumlah RM11 juta untuk program PPSMI kepada pelajar Tahun Satu di sekolah rendah sejak 1 Januari 2020.

Peruntukan tersebut meliputi kos latihan buat lebih 2,800 guru dan juga kos percetakan bahan dan buku.

Program tersebut turut merangkumi 1,026 sekolah rendah di negeri itu, tetapi tidak termasuk 220 sekolah rendah jenis kebangsaan yang memilih untuk tidak mengajar dua mata pelajaran berkenaan dalam Bahasa Inggeris tahun ini.

Terdahulu, dasar PPSMI di peringkat persekutuan yang dilaksanakan meraih beberapa reaksi dari pelbagai pihak, namun ia telah dilakukan hampir 10 tahun sebelum dibatalkan pada tahun 2011 dan digantikan dengan dasar "Mempertahankan Bahasa Malaysia dan Menguatkan Bahasa Inggeris" (MBMMBI).

Dr Mahathir yang kini ingin memperkenalkan langkah itu, sekali lagi mencetuskan perdebatan pelbagai pihak, antaranya melibatkan bekas timbalan menteri pendidikan P Kamalanathan yang mencadangkan agar program itu diteliti lebih lanjut sebelum dilaksanakan.

Lihat Komen
ADS