Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini membidas pengkritik Umno kerana tidak pernah mengiktiraf usaha parti itu memperkukuhkan integriti ahli-ahlinya, sedang ia merupakan aspek pencegahan rasuah dan politik wang.

Beliau menegaskan, usaha pembasmian rasuah dan politik wang bukan dari sudut pembersihan sahaja, tetapi ia juga menyentuh aspek pencegahan.

"Inilah barangkali jarang ditekankan oleh para pengkritik parti. Mereka ghairah untuk menghukum itu dan ini," katanya dalam wawancara satu penerbitan khas sempena ulangtahun ke-60 Umno di Istana Besar Johor, di Johor Bahru hari ini.

"Tetapi mereka tidak pernah mengiktiraf usaha kita untuk memperkukuhkan integriti ahli parti. Ini adalah aspek pencegahan," tambah beliau yang juga Presiden Umno.

"Saya nak maklumkan bahawa apa yang saya lakukan ialah kesinambungan dari kepimpinan masa yang lalu. Kalau ada orang dihukum ianya adalah kerana badan disiplin Umno telah mendapati mereka melakukan kesalahan.

Ramai pemimpin Umno termasuk Datuk Seri Isa Samad yang memenangi jawatan Naib Presiden Umno dalam pemilihan parti itu yang lalu, telah digantung keahlian dan dilucut jawatannya itu apabila didapati bersalah terbabit dalam politik wang.

"Ada aduan daripada perwakilan. Ini bukan kerja presiden atau MT sahaja," tambahnya.

Lebih 30,000 membanjiri padang Istana Besar Johor pagi ini untuk mengingati ulangtahun ke-60 Umno. Umno ditubuhkan di istana berkenaan pada 11 Mei 1946. Sultan Johor turut hadir dan bertitah di majlis tersebut.

Generasi muda

Sehubungan itu, Abdullah berkata, generasi muda hari ini mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mempertahankan erti kemerdekaan dan kedaulatan negara, dan perlu terus bekrja kuat demi kelangsungan bangsa.

"Bahawa apa yang kita miliki hari ini tidak akan kekal sekiranya kita tidak berusaha untuk mempertahankannya. Mengekalkan kejayaan sesungguhnya lebih sukar daripada memperolehinya.

"Kita tiada pilihan. Kita perlu pertahankan, malah terus gemilangkannya. Kegagalan dan putus asa tidak boleh ada dalam kamus hidup orang Melayu," tambahnya.

Oleh itu, katanya, generasi baru perlu menjiwai erti perjuangan parti, memahami rentetan perjuangan sebuah bangsa.

"Mereka tidak sempat melihat bagaimana bendera Union Jack diturunkan dan Jalur Gemilang dikibarkan. Mereka tidak sempat untuk mendengar sendiri laungan "Merdeka" oleh Bapa Kemerdekaan kita...," katanya.

Namun, katanya, itu semua tidak boleh dijadikan alasan untuk leka dan alpa dalam meneruskan perjuangan mempertahankan kedaulatan negara.