Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ketua Armada Kelantan didakwa 'dua alam' sebab sertai 2 parti

Parti Bersatu di Kelantan sekali lagi dibayangi kontroversi apabila salah seorang pemimpin pemudanya didakwa memiliki status keanggotaan yang meragukan.

Menurut Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Kota Bharu, Saizo Abdul Ghani, pergerakan sayap parti itu di peringkat negeri, Asran Alias (gambar atas), diketuai seorang ahli Amanah.

"Kami mendengar rungutan daripada ahli-ahli pelbagai bahagian mengenai perkara ini dan semakan dibuat mendapati perkara itu memang benar.

"Justeru Asran perlu menjelaskan keadaan sebenar, kerana selepas sekian lama berada dalam keadaan 'dua alam' dan meraih pelbagai keistimewaan atas kapasiti ketua Armada negeri.

"Malah dia juga baru dilantik sebagai felo di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) oleh menteri belia dan sukan," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Sementara itu Saizo berkata, pihaknya juga melihat kedudukan Asran yang menjadi ahli dua parti itu juga menunjukkan kelemahan pengurusan Ketua Armada Kebangsaan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dakwanya, bagaimana Syed Saddiq boleh melantik Asran yang berselindung di sebalik tabir pentadbiran Armada Kelantan dan pada masa sama masih menjadi ahli Amanah.

Penggerak awal di Kelantan

"Asran mengkhianati Armada Kelantan dan Bersatu. Kami risau dia mempunyai agenda peribadinya apabila tidak zuhud dalam perjuangannya membela Armada.

"Justeru kami berharap perkara ini diberi perhatian Syed Saddiq dan pihak lembaga disiplin parti untuk bertindak wajar," katanya.

Sementara itu Asran ketika diminta mengulas mengenai dakwaan tersebut berkata, dia tidak pernah sama sekali secara sukarela mendaftar sebagai ahli Amanah.

Namun, katanya, jika ada rekod keahlian sekali pun mungkin didaftarkan oleh pihak lain dan perlu diteliti bila tarikh pendaftaran itu dibuat.

"Saya menafikan dakwaan itu. Sekiranya keahlian Amanah itu sudah lama, ia akan terbatal secara automatik apabila saya menjadi ahli Bersatu sejak 2017 dan aktif sebagai ahli seumur hidup.

"Saya juga bertanding sebagai calon PH dengan kuota Bersatu di Dun Bukit Bunga untuk pilihan raya umum lalu.

"Kalau ada rekod keahlian Amanah mungkin didaftarkan oleh pihak lain. Jadi tak ada masalah, lebih-lebih lagi saya antara kelompok terawal yang menggerakkan Armada Kelantan," katanya.

Lihat Komen
ADS