story images
story images
mk-logo
Berita
IGP seloroh: Jika biar lama di E8, orang akan panggil 'Ayob pengganas'

Sudah sampai masanya buat Ayob Khan Mydin Pitchay untuk berpindah daripada bahagian antikeganasan kerana sudah terlalu lama memegang jawatan itu, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Hamid diminta mengulas mengenai perpindahan Ayob daripada jawatan Ketua Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas Bukit Aman dilantik menjadi Ketua Polis Johor yang baru berkuat kuasa 6 Mac ini.

"Bagi Ayob pula, dia sudah terlalu lama, kalau saya biarkan dia lagi sebulan dua orang akan panggil Ayob pengganas pula, sebab itu saja kerja dia," jelasnya berseloroh.

Menurut ketua polis negara lagi perpindahan itu bagi memberi peluang Ayob menimba pengalaman baru.

"Kita bagi peluang Ayob ke sana (Johor) untuk dapatkan pengalaman.

"Dia (Ayob) perlu didedahkan, dia sudah lakukan banyak kerja, kita bagi dia peluang ke bawah untuk memimpin. Dia muda lagi," kata Abdul Hamid pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

Terdahulu, ketua polis negara menyaksikan majlis serah terima tugas daripada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Mohd Khalil Kader Mohd kepada pengganti beliau Ramli Din.

Tahun lalu, Ayob mendapat perhatian susulan cawangannya menahan 12 individu termasuk dua Adun kerana dikatakan terkait dengan kumpulan pengganas yang sudah tidak aktif, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Sementara itu, beliau juga ditanya jika pertukaran Ketua Polis Johor Mohd Kamarudin Md Din ke Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pengurusan Bukit Aman ada kaitan dengan kejadian kekecohan di majlis melibatkan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman.

Menjawab soalan itu, Abdul Hamid berkata sukar baginya untuk mengulas tetapi ia suatu kebetulan kerana pasukan itu sedang melakukan rombakan besar.

"Sukar saya nak jawab tetapi kalau dilihat daripada latar belakang Kamarudin ini, dia adalah seorang pakar siber dan terdapat peningkatan ancaman jenayah siber. Jadi (perpindahan) tepat pada masanya.

"Kalau nak kaitkan dengan insiden (majlis Syed Saddiq) itu, terserahlah penilaian anda semua.

"Masanya sesuai untuk beliau (Kamarudin) kembali ke Bukit Aman. Kerana dia antara peneraju dalam kumpulan (jenayah siber) itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS