Bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Datuk Shahrir Samad diingatkan jangan menjadi hakim untuk menyalahkan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof berhubung salahlakunya sebagai ahli Parlimen.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, tidak wajar menjatuhkan hukuman sebelum Mohd Said 'dibicarakan'.

"Nampaknya Datuk Shahrir mahu menjadi hakim dalam kes itu sedangkan kes tersebut belum ada hujung pangkalnya," katanya.

Sehubungan itu, katanya, Shahrir tidak boleh menuding jari kepada Mohd Said sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa Badan Pencegah Rasuah (BPR) serta mesyuarat khas Whip Barisan Nasional menyiasat kes tersebut.

Beliau berkata, siasatan agensi kerajaan seperti BPR akan menentukan sama ada Mohd Said bersalah atau tidak.

Menurutnya lagi, ahli Parlimen perlu memberhentikan amalan untuk menyalahkan antara satu sama lain kerana ia akan mengusutkan lagi keadaan.

Shahrir Rabu lalu berkata, Mohd Said patut dikenakan tindakan kerana melakukan salahlaku dan tindakan yang bertentangan dengan tanggungjawab seorang ahli Parlimen. Beliau membuat ulasan itu berikutan pengakuan ahli Parlimen Jasin itu bahawa syarikatnya mempunyai kepentingan dalam urusniaga kayu bergergaji yang menjadi perbalahannya dengan pihak Kastam.

Laporan akhbar hari ini pula menyatakan, Predana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengarahkan BPR menyiasat kes Mohd Said itu. Abdullah berkata Mohd Said perlu disiasat bagi mendapatkan penjelasan dan kepastian kes rampasan kayu bergergaji oleh Kastam di Kuala Linggi, Melaka itu.

Sementara itu bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali pula berkata, Shahrir patut mengetengahkan usul yang lebih besar seperti usul kerugian MAS dan kes Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Rafidah Aziz yang meluluskan ribuan permit import (AP) kereta.

"Sebagai seorang tokoh besar, Shahrir tidak wajar menumpang usul yang dibawa oleh pembangkang sebaliknya berani membawa usul sendiri untuk dibahaskan," katanya.

Ibrahim berkata, isu campur tangan Mohd Said terhadap dalam Jabatan Kastam adalah 'isu nyamuk' manakala 'isu gajah' dipandang sebelah mata atau dilupakan terus.

Ibrahim yang dipecat sebagai ahli Umno kerana menjadi calon bebas dalam pilihanraya umum lalu berkata, BPR dan polis juga perlu menyiasat tingkah laku Ahli Parlimen semasa berada di luar dan dalam Dewan Rakyat.

Katanya, ini kerana mereka sering membuat fitnah terhadap orang lain dan tindakan itu boleh menjatuhkan maruah orang yang tidak bersalah.

Ibrahim juga mengulas mengenai tindakan pemimpin Umno yang menyokong Perdana Menteri ketika mereka berkuasa sahaja yang disifatkannya sebagai budaya tidak sihat.

"Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad ada kuasa, tiada seorang pun pemimpin Umno yang menyanggah cakapnya, tetapi apabila beliau bersara beliau telah dikecam.

"Kini semua orang menyokong dan memuji Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana beliau sedang memegang kuasa dan tidak mustahil apabila Datuk Seri Abdullah berundur, beliau juga akan menerima nasib sama," katanya lagi.

Beliau berkata sikap ini tidak baik kepada negara kerana pemimpin perlu berani bercakap benar dan menegur pemimpin yang membuat salah.