Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MIC: Sungguh parah imaginasi Guan Eng
Diterbitkan:  Feb 11, 2020 3:52 PM
Dikemaskini: 7:52 AM

Pemuda MIC berkata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sengaja menimbulkan keresahan rakyat dengan mendakwa kerjasama Umno-PAS akan meminggirkan bukan Islam dan mewujudkan politik pecah belah.

"Saya amat kesal dan terkejut dengan tindakan Guan Eng yang sekali lagi cuba menjejaskan keharmonian masyarakat Malaysia melalui kenyataan politik beliau bahawa usaha sama Umno-PAS adalah suatu bahaya kepada yang bukan Islam.

"Sungguh parah imaginasi Guan Eng! Ketika menjadi sekutu di dalam pakatan pembangkang sebelum ini, DAP tiada isu terhadap PAS.

“Tetapi kini ia dikritik hebat, atas ketaksuban kuasa dan politik DAP," kata Ketua Pemuda MIC R Thinalan dalam kenyataan media hari ini.

Thinalan menegaskan menteri kewangan itu sepatutnya memfokuskan kepada hala tuju negara.

"Tak usah sibuk dengan perihal politik kami pembangkang. Selesaikan kemelut kepimpinan dan penyerahan kuasa di pihak kerajaan.

“Sebagai menteri kewangan, laksanakan tanggungjawab memulihkan negara dari ambang kemelesetan dan mampu memacu ekonomi negara," katanya.

Terdahulu semalam, sebuah portal melaporkan Lim sebagai berkata Malaysia akan mengharungi zaman kegelapan seperti Kelantan yang diterajui PAS jika kerajaan Pakatan Nasional menjadi realiti.

"Kritikan Guan Eng terhadap pentadbiran PAS di Negeri Kelantan juga bagai kuman di seberang lautan tampak, gajah bertengger di pelupuk mata tiada tampak.

“Skandal banglo dan skandal terowong bawah laut semasa Guan Eng menjadi ketua menteri Pulau Pinang masih rakyat tidak lupa."

"Kerjasama Umno dan PAS adalah inklusif kepada semua rakyat Malaysia, merentasi batasan agama dan bangsa.

“Persefahaman dan persetujuan yang wujud bersama Umno, PAS, MIC dan MCA memastikan tiada golongan yang dipinggirkan, suara dan keperluan rakyat diperjuangkan bersama," tambah Thinalan.

Lihat Komen
ADS