Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saksi: Kontrak kerajaan-Datasonic Technologies tak ditandatangani

Perbicaraan kes Ahmad Zahid Hamidi hari ini panas apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu tiada kontrak ditandatangani antara kerajaan dan Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB), berhubung tuduhan rasuah yang dihadapi bekas timbalan perdana menteri itu.

Perkara itu timbul apabila peguam bela Ahmad Zahid, Ahmad Zaidi Zainal mengasak saksi ke-30, Dr Uzailee Abdul Latif berhubung perincian kontrak rundingan terus pembekalan 12.5 juta cip pasport selama lima tahun dari Disember 2016 hingga akhir November 2021.

Ahmad Zaidi cuba mencadangkan kepada Uzailee bahawa kontrak itu bukanlah kontrak baru, sebaliknya lanjutan daripada kontrak lama yang sebelum ini sudah pun dianugerahkan kepada DTSB, bersama dua lagi syarikat iaitu Iris dan Percetakan Keselamatan Nasional Sdn Bhd (PKN).

Bagaimanapun, Dr Uzailee tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Menurut Dr Uzailee, sebelum pembekalan 12.5 juta cip itu diserahkan kepada DTSB, kontrak pengeluaran cip diserahkan kepada Iris, manakala buku pasport dibekalkan oleh PKN, sementara DTSB membekalkan polikarbonat untuk pasport Malaysia.

Zaidi kemudiannya merujuk kontrak baru berkenaan kepada Uzailee dan mendapati bahawa kontrak tersebut sebenarnya tidak pernah ditandatangani.

Zaidi: Selak di muka surat tandatangan. Berdasarkan muka surat itu, kontrak ini belum diputuskan oleh mana-mana pihak sekalipun.

Dr Uzailee: Pada pengetahuan saya, belum diputuskan lagi.

Selepas itu, Uzailee cuba memberikan penjelasan terhadap jawapannya, namun ditegah Zaidi yang terus mengasaknya dengan soalan seterusnya.

Zaidi: Kalau kontrak tak ditandatangani, adakah itu kontrak yang sah?

Dr Uzailee: Tidak. Bukan tidak sah, (tetapi) tidak ada kontrak.

Zaidi: Tak ada kontrak? Lebih bagus kalau begitu!

Bagaimanapun, ketika disoal Zaidi apakah apakah setiap prosedur sudah dipatuhi dalam urusan kontrak berkenaan, Uzailee menjawab “ya”.

Selain itu juga, Dr Uzailee menjelaskan bahawa kontrak rundingan diberikan bersandarkan beberapa kriteria, antaranya keselamatan negara dan ketiadaan pembekal lain, namun ia hanya boleh dilulus dan dianugerahkan oleh Kementerian Keawangan (MOF), bukannya kementerian lain, termasuklah KDN yang diterajui Ahmad Zahid ketika itu.

Ahmad Zahid dituduh menerima dua cek RM6 juta daripada pengarah urusan dan pemegang saham utama DGB Chew Ben Ben bagi memperoleh kontrak pembekalan cip pasport berkenaan yang bernilai RM318.75 juta.

Ketika pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Gan Peng Kun, Dr Uzailee diminta menjelaskan tentang “kontrak yang tidak ditandatangani” seperti dibangkitkan Zaidi.

Jelas Uzailee, proses menandatagani kontrak sememangnya akan mengambil masa yang lama, justeru MOF mengeluarkan surat setuju terima (SST) sebagai surat ikatan supaya sesuatu urusan dapat diteruskan sebelum kontrak formal ditandatangani, selalunya dalam masa empat bulan selepas SST dikeluarkan.

Terdahulu, dalam penyataan saksinya, Dr Uzailee berkata beliau ada mengeluarkan surat meminta KDN mengeluarkan ulasan terhadap permohonan rundingan terus oleh DTSB untuk membekalkan cip pasport selama lima tahun yang akan dimasukkan dalam halaman biodata polikarbonat pasport Malaysia.

Bagaimanapun, dalam balasan terhadap terhadap suratnya, KDN menyatakan masih mahu meneruskan kontrak sedia ada dengan syarikat PKN dan Iris - yang merupakan syarikat pembekal cip - berdasarkan prestasi yang cemerlang.

Sebaliknya, KDN menyatakan prestasi DTSB yang kurang memuaskan kerana sering lewat membekalkan polikarbonat sehingga menyebabkan Jabatan Imigresen (JIM) terputus bekalan sehingga menjejaskan prestasi perkhidmatan.

Katanya, dalam satu perbincangan dilakukan pada 27 November 2014 antara DTSB, MOF, KDN dan JIM berhubung pembekalan pasport, DTSB telah membuat pembentangan tentang penjimatan yang boleh dinikmati kerajaan sekiranya mereka dianugerahkan projek berkenaan.

Menurut Dr Uzailee lagi, MOF telah meluluskan pelantikan DTSB untuk pembekalan cip pasport selama lima tahun atau sebanyak 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polikarbonat pasport secara rundingan terus setelah DTSB lulus pembuktian konsep (POC) dan mendapat perakuan KDN dan JIM.

Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah (CBT) melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan masuk hari ke-14, di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Lihat Komen
ADS