Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Dua lagi warga China positif Covid-19
Diterbitkan:  Feb 15, 2020 3:27 PM
Dikemaskini: 8:44 AM

Dua lagi jangkitan Covid-19 dikesan di negara ini dan kedua-dua kes berkenaan melibatkan warganegara China.

Ini menjadikan jumlah kes koronavirus yang direkodkan meningkat kepada 21 kes, termasuk tiga pesakit yang telah pulih sebelum ini.

Menurut Menteri Kesihatan Dr Dzulkefley Ahmad, kes ke-20 melibatkan seorang ahli perniagaan berusia 27 tahun, yang dikesan menunjukkan simptom ketika melalui saringan kesihatan di pintu masuk negara di Bukit Kayu Hitam, semalam.

"Satu sampel klinikal (swab tekak) telah diambil dan ujian mengesahkan Covid-19 (awal pagi ini). Dia segera dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru di SK Desa Aman Desa Coalfield di Kuala Selangor hari ini. 

Sementara itu, kes ke-21 melibatkan seorang wanita warga China berusia 32 tahun yang tinggal di Malaysia.

Dr Dzulkefly berkata wanita itu pulang ke China untuk melawat keluarganya pada 22 Jan 2020 sehingga 30 Januari tahun ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, lelaki warga China yang dijangkiti wabak berkenaan tiba di Malaysia pada 1 Februari sebelum ke Thailand pada 12 Feb dan kembali semula ke negara ini keesokannya.

"Beliau telah dikesan mempunyai demam oleh thermal scanner semasa melalui pintu masuk darat antarabangsa Malaysia-Thailand, dan seterusnya telah dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada hari yang sama," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, katanya, wanita warganegara China berkenaan yang telah berkahwin dengan warganagera Malaysia dan menetap di negara ini mempunyai sejarah perjalanan ke China pada 22 Januari sehingga 30 Januari kerana melawat keluarganya.

Pada 13 Februari, wanita berkenaan mengalami gejala sakit tekak dan kemudiannya dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

"Ujian saringan pengesanan Covid-19 telah dijalankan dan telah disahkan positif pada 14 Februari 2020. Kes dimasukkan ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk rawatan dan pemantauan selanjutnya," kata Noor Hisham.

Menurut kementerian itu, daripada 21 kes itu, 11 kes diletakkan sebagai Patient-Under-Investigation (PUI), lapan kes dalam kalangan kontak rapat dan dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan misi bantuan kemanusiaan.

Daripada jumlah tersebut, lima belas kes membabitkan warganegara China dan enam kes membabitkan warganegara Malaysia.

Lihat Komen
ADS