Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bersatu Johor kerjasama dengan Umno lepas bincang dengan Muhyiddin'
Diterbitkan:  Feb 27, 2020 9:01 PM
Dikemaskini: 1:04 PM

Keputusan Bersatu Johor untuk bersama Umno menubuhkan kerajaan negeri yang baru dibuat selepas perbincangan dengan presiden parti Muhyiddin Yassin, kata Dr Sahruddin Jamal.

Menteri besar Johor itu berkata, gabungan baru itu merangkumi Bersatu, Umno, MCA, MIC, PAS dan "beberapa individu", tanpa menyatakan secara khusus individu yang dimaksudkannya.

Ditanya mengapa Bersatu setuju untuk bekerjasama dengan Umno, beliau berkata perkara itu diputuskan pimpinan tertinggi.

"Keputusan berdasarkan hasil perbincangan saya selaku menteri besar dengan pimpinan pusat parti," katanya berdasarkan rakaman yang diperoleh Malaysiakini.

Ketika ditanya sama ada perkara itu turut dibincangkan dengan Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang, Shahruddin berkata" "Saya telah berbincang dengan presiden Muhyiddin Yassin."

Keputusan itu berbeza dengan pendirian Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad yang menolak sebarang kerjasama dengan Umno di peringkat parti.

Ia juga berbeza dengan langkah Bersatu Kedah yang kekal bersama PH dalam kerajaan negeri.

"Kerajaan yang ada sama, cuma satu perbezaannya dulu kerajaan PH, tapi sekarang kerajaan PH campur Bersatu," kata Menteri Besar Mukhriz Mahathir.

 Dalam satu kenyataan hari ini, Kata Setiausaha Sulit Sultan Johor, Jaba Mohd Noah berkata, Sultan Ibrahim berpuas hati gabungan baru itu memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan apabila 28 Adun memilih gabungan baru berbanding 26 PH.

"Oleh yang demikian gabungan baru berhak memberikan cadangan nama calon menteri besar sebelum susunan barisan exco baru dilantik," katanya.

Ia selepas Sultan Ibrahim menemu bual 54 daripada 56 Adun Johor semalam. Dua Adun yang tidak hadir dalam temu duga tersebut ialah Adun Jeram dari Amanah, Salahuddin Ayub, dan Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang.

Salahuddin yang juga anggota parlimen Pontian berkata, beliau tidak dapat hadir kerana mengadap Yang di-Pertuan Agong semalam. Mazlan yang juga pengerusi Bersatu Johor pula berkata beliau memerlukan masa bagi memantau situasi politik kerajaan pusat sebelum membuat keputusan

Ditanya berkenaan bilakah kerajaan baru akan dibentuk, Sahruddin berkata: "InsyaAllah, secepat mungkin."

Ditanya sama ada perkara itu dibincangkan dengan Mahathir, beliau tidak menjawabnya dan sebaliknya menegakan keputusan itu dibuat dengan mengambil kira faktor masa.

"Kami di Johor berpandangan kami perlu percepatkan pembentukan kerajaan baru. Kami gunakan kaedah ini agar kerajaan negeri dapat ditubuhkan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS