Malaysia catat tiga kes baru Covid-19 dalam masa 24 jam
KORONAVIRUS l Malaysia mencatatkan tiga kes Covid-19 baru dalam tempoh 24 jam, setelah tidak ada kes baru dilaporkan lebih seminggu lalu.
Malam senalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah, berkata seorang wanita warga Malaysia yang berusia 53 tahun menjadi mangsa ke-23 Covid-19 di Malaysia.
Wanita itu berkunjung ke Jepun dan mengalami demam sebaik tiba di Malaysia pada 23 Februari dan kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur. Dia diuji positif untuk Covid-19 pada 27 Februari.
Petang ini, Noor Hisham mengumumkan dua lagi kes - satu melibatkan seorang warganegara Jepun berusia 41 tahun (pesakit ke-24) yang bekerja di Malaysia dan seorang lagi adalah warga Itali berusia 54 tahun (pesakit ke-25) yang berkahwin dengan seorang rakyat Malaysia.
Noor Hisham berkata wanita Jepun itu berkunjung ke Jepun bulan lalu dan ke Indonesia bulan ini.
Covid-19 lazimnya mengambil masa sehingga dua minggu sebelum menunjukkan tanda-tandanya yang jelas. Indonesia menegaskan bahawa negara itu tidak mempunyai sebarang kes Covid-19.

Noor Hisham berkata pesakit Jepun itu demam dan mendapatkan rawatan pada 17 Februari. Dia ditahan di sebuah hospital swasta pada 20 Februari.
"Ujian Covid-19 dijalankan dan dia disahkan positif pada 27 Februari Dia kini dirawat di wad pengasingan di Hospital Kuala Lumpur," katanya.
Bagi pesakit Itali itu pula, Noor Hisham berkata, lelaki itu ke Itali untuk urusan kerja dari 15 hingga 21 Februari.
Dia mula mendapat gejala itu pada 22 Februari dan mendapatkan rawatan pesakit luar selama tiga hari berturut-turut mulai 23 hingga 25 Februari. Ujian Covid-19 ke atasnya didapati positif hari ini.
"Dia kini ditahan di wad pengasingan hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan pemerhatian," katanya.
Sehingga semalam, Malaysia tidak mempunyai sebarang kes baru Covid-19 sejak 15 Februari.
Kedua-dua negara, Jepun dan Itali teruk terjejas dengan wabak Covid-19.
Sehingga kini, Itali telah mencatatkan 650 kes manakala Jepun mencatatkan 186 kes. Indonesia pula mendakwa ia tidak mempunyai sebarang kes.
Di peringkat global, Covid-19 kini menjangkiti seramai 83,272 orang dan menyebabkan 2,858 kematian.

