Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Suasana di mahkamah ketika prosiding membela diri Bendahari Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor bagi tuduhan menerima RM2 juta daripada ahli perniagaan Chai Kin Kong tegang seketika.

Ini susulan tindakan pihak pendakwa yang didakwa sengaja merosakkan imejnya.

“Kamu cuba rosakkan reputasi saya sejak hari pertama perbicaraan. Kamu bercakap dengan media dan memberi kenyataan bercanggah. Ini tidak adil.

“Saya bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga perundangan. Saya tahu ke mana kamu menuju dengan soalan-soalan kamu.

“Kenapa kamu masih tuduh saya kalau kamu boleh membuang tuduhan terhadap bekas menteri kewangan sebelum ini,” kata Tengku Adnan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi tadi.

Demikian katanya, ketika timbalan pendakwa raya Julia Ibrahim meminta ahli Parlimen Putrajaya itu menjelaskan pernyataan saksi di mana beliau menyatakan bahawa tuduhan ini sebagai tidak relevan.

Dipercayai, Tengku Adnan merujuk kepada Lim Guan Eng yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo serta ahli perniagaan Phang Li Koon dakwaan bersubahat.

Namun, Julia membalas soalan itu perlu dikemukakan kepada Peguam Negara (AG) kerana beliau mempunyai kuasa.

“Kenapa kamu tanya saya untuk membuang tuduhan. Kamu perlu tanya AG,” kata Julia.

Dibalas oleh Tengku Adnan: “Betul, kamu tanya AG kamu, tunggu tidak ada AG sekarang. Dah letak jawatan”.

Mahkamah tenang selepas Julia meminta Tengku Adnan menyambung semula kes yang dipersetujui oleh veteran Umno itu.

‘RM2 juta umpama duit poket untuk saya’

Sementara itu, Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan berkata bahawa tiada keperluan untuk dirinya mengambil duit daripada pihak ketiga.

“Kamu lihat, saya tidak pernah tanya peruntukkan daripada presiden parti untuk aktiviti politik di kawasan parlimen saya. Saya cari dana dengan sendiri.

“RM2 juta umpama duit poket untuk saya,” katanya.

Terdahulu, Ku Nan tidak setuju ketika ditanya adakah beliau menggunakan RM2 juta untuk kegunaan peribadi.

Pada 14 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Ku Nan membela diri atas tuduhan itu, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Tengku Adnan, sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Chai, melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Bandar Damansara, di Kuala Lumpur pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan disambung pada petang di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Lihat Komen
ADS