Kerajaan cari pengarah PISB untuk tuntut gantirugi
Kerajaan tetap akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengarah Perangsang International Sdn Bhd (PISB), kontraktor yang membina bangunan Matrade di Jalan Duta, Kuala Lumpur kerana lewat menyiapkan bangunan tersebut walaupun syarikat tersebut telah berkubur.
Kerajaan tetap akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengarah Perangsang International Sdn Bhd (PISB), kontraktor yang membina bangunan Matrade di Jalan Duta, Kuala Lumpur kerana lewat menyiapkan bangunan tersebut walaupun syarikat tersebut telah berkubur.
Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Samy Vellu berkata, tindakan undang-undang akan diambil bagi mengutip bayaran RM95 juta untuk caj lewat serahan, dan RM64.8 juta kos tambahan untuk kerja-kerja pembaikan.
"Saya diberitahu bahawa PISB adalah sebuah syarikat yang sudah berkubur, namun kita akan tetap mencari pengarah-pengarah syarikat itu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.
Bagaimanapun katanya, tindakan undang-undang mungkin akan mengambil masa yang lebih panjang dari jangkaan.
Menurut Samy Vellu, Kumpulan Darul Ehsan Berhad yang dimiliki kerajaan negeri Selangor sudah menulis surat kepadanya pada bulan Mac lalu, memaklumkan bahawa PISB yang merupakan salah sebuah daripada anak syarikatnya, sudah dijual kepada syarikat lain.
Menurut laporan Bernama, bangunan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) itu sepatutnya disiapkan sembilan tahun lalu. Bagaimanapun akiibat pelbagai masalah, ia hanya dapat disiapkan pada 28 April tahun ini dan akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) esok.
"Saya akan serahkan bangunan itu kepada menterinya, Datuk Seri Rafidah Aziz esok," katanya.
Menurut beliau lagi, sepatutnya bangunan tersebut diserahkan kepada MITI pada 22 Jun ini, namun Jabatan Kerja Raya telah bekerja keras untuk menyiapkannya pada 28 April.
"Saya gembira kerana kita dapat serahkan bangunan itu 39 hari lebih awal," tambahnya.
Projek pembinaan bangunan Matrade bermula pada tahun 1994 dan dijangka siap pada tahun 1997 lalu, namun disebabkan beberapa kelewatan dan pelantikan kontraktor baru, kos asalnya sebanyak RM167 juta melonjak kepada RM287.5 juta, dengan kira-kira RM64.8 juta dibelanjakan untuk kerja-kerja pembaikan.
Kontrak asal, PISB ditamatkan kontraknya pada bulan Mac tahun lalu ekoran kegagalan syarikat itu menyiapkan projek tersebut, dan PISB kemudiannya diarahkan membayar caj lewat serahan berjumlah RM41,750 sehari bagi tempoh 2,276 hari, iaitu sehingga tarikh kontrak ditamatkan.
PISB sebelum ini adalah subsidiari Kumpulan Hartanah Selangor Bhd (KHSB), syarikat pelaburan kerajaan Selangor.

