Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hari 90: Najib pegang carta aliran kewangan sama ditunjukkan AG - Saksi

LANGSUNG | Perbicaraan melibatkan bekas perdana menteri, Najib Razak, berkaitan dakwaan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd memasuki hari ke-89.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung.


4.20 petang: Pendakwaan akan membuat pemeriksaan balas terhadap bekas DPP Ahmad Shukri dalam prosiding esok.

DPP V Sithambaram memaklumkan perkara itu kepada hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada akhir prosiding petang ini.

Nazlan kemudian membenarkan prosiding untuk ditangguhkan hari ini dan akan disambung semula pukul 9 pagi esok.


4.16 petang: Bekas DPP Dzulkifli Ahmad menyerahkan kepada Najib penyata akaun bank bekas perdana menteri itu pada 2016.

Dzulkifli yang merupakan saksi pembelaan memaklumkan perkara itu semasa pemeriksaan utama oleh ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee meminta Dzulkifli untuk mengesahkan sama ada ketua setiausaha sulit Najib, Shukry Mohd Salleh telah menghubunginya (Dzulkifli).

Terdahulu hari ini, Shukry memberi keterangan di mahkamah bahawa Najib memerintahkannya untuk menghubungi Dzulkifli untuk mendapatkan penyata akaunnya (Najib), selepas peguam negara ketika itu Apandi Ali membebaskan Najib dari salah laku dalam isu derma RM2.6 bilion dan RM42 juta SRC International.

Dzulkifli, yang kemudian menjadi ketua pesuruhjaya SPRM, memberitahu mahkamah hari ini bahawa Shukry menghubungi beliau atas permintaan itu.

Dzulkifli: Dia (Shukry) berkata perdana menteri memerlukan penyata banknya. Pada masa itu, kes itu telah ditutup. Memandangkan permintaan itu adalah berhubung penyata bank perdana menteri (Najib), maka saya serahkan (kepada Najib).

Shafee: Anda tidak bertanya mengapa dia memerlukan kenyataan banknya sendiri?

Dzulkifli: Tidak.


4.12 petang: Najib tidak boleh didakwa tanpa kenyataannya direkodkan terlebih dahulu, kata bekas ketua DPP Dzulkifli Ahmad.

Saksi pembelaan itu berkata Najib juga tidak dapat didakwa tanpa pernyataan saksi utama seperti CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil diambil terlebih dahulu.

Dzulkifli berkata demikian ketika menjawab soalan ketua pembelaan utama Muhammad Shafee Abdullah mengenai tindakan bekas ketua pesuruhjaya SPRM Abu Kassim Mohamed, yang pada Julai 2015 mencadangkan kepada pasukan petugas 1MDB untuk mendakwa Najib.

"Bagi mana-mana kes, ini tidak boleh dilakukan, kerana pernyataan-pernyataan itu sangat penting untuk membuktikan teras kesalahan itu. Sekiranya tidak ada pernyataan, bagaimana cara mengenakan dakwaan?" kata Dzulkifli.

Beliau juga mengesahkan bahawa sebelum Abu Kassim membuat cadangan untuk mendakwa Najib pada bulan Julai 2015, bukan sahaja SPRM tidak mencatatkan kenyataan daripada beliau (Najib), tetapi juga tidak merakamkan kenyataan daripada saksi utama seperti Nik Faisal.


3.41 petang: Bekas timbalan pendakwa raya Dzulkifli Ahmad memberi keterangan bahawa SPRM pada mulanya mencadangkan untuk mendakwa Najib Razak yang ketika itu perdana menteri, atas jenayah penyelewengan.

Saksi pembelaan berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh ketua pasukan pembelaan, Muhammad Shafee Abdullah.

Dzulkifli merujuk kepada penemuan awal SPRM berhubung kertas siasatan melibatkan kes RM2.6 bilion dan RM42 juta SRC yang diberikan kepada peguam negara ketika itu, Apandi Ali pada awal Januari 2016.

"Setakat yang saya ingat, SPRM mencadangkan untuk mendakwa Najib di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas jenayah penyelewengan," kata Dzulkifli.

Beliau juga mengatakan bahawa SPRM telah mencadangkan supaya Najib didakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM.

Pada 26 Jan, Apandi membebaskan Najib daripada salah laku dalam isu derma RM2.6 bilion dan isu SRC International bernilai RM42 juta, yang antara lain melibatkan sejumlah wang dimasukkan ke akaun peribadi Najib.


3.28 petang: Isteri Najib Razak, Rosmah Mansor dilihat memasuki mahkamah dan mengambil tempat duduk di baris hadapan galeri awam.

Dia duduk di belakang kandang tertuduh di mana suaminya berada ketika prosiding berjalan.


2.39 petang: Bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad masuk ke kandang saksi bagi pihak pembelaan Najib Razak.


2.38 petang: Prosiding disambung semula.


Najib pegang carta aliran kewangan sama ditunjukkan AG - Saksi

11.07 pagi: Bekas ketua setiausaha sulit bekas perdana menteri Najib Razak Shukry Mohd Salleh keluar dari kandang saksi.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan perkara itu apabila peguam bela utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah menyelesaikan pemeriksaan semula terhadap saksi pembelaan berkenaan.

Mahkamah kemudian ditangguhkan dan akan bersambung pada pukul 2.30 petang, di mana bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad dijangka akan memberikan keterangan.

Najib pegang carta aliran kewangan sama ditunjukkan AG: Saksi

11.04 pagi: Mahkamah Tinggi diberitahu Najib Razak dilihat memegang carta aliran kewangan berkaitan 1MDB, sama dengan yang didedahkan Peguam Negara, Apandi Ali ketika itu.

Bekas ketua setiausaha sulit Najib, Shukry Mohd Salleh memberi keterangan demikian semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram.

Sithambaram bertanya Shukry sama ada saksi itu tahu akaun apa yang dirujuk Najib apabila beliau (Najib) meminta Shukry mendapatkan (Najib) penyata akaunnya daripada DPP Dzulkifli Ahmad pada 26 Feb 2016.

Sithambaram: Kamu tidak tahu akaun yang mana Datuk Seri (Najib) arahkan (kamu) untuk dapatkan daripada Dzul (Dzulkifli)?

Shukry: Pada masa itu, Najib memegang carta aliran kewangan yang saya rasa sama dengan yang ditunjukkan oleh kenyataan media Peguam Negara pada masa itu.

Pada 26 Januari 2016, Apandi membebaskan Najib daripada sebarang salah laku dalam isu derma RM2.6 bilion dan RM42 juta dana SRC, di mana wang berkenaan didapati telah mengalir ke akaun peribadi Najib.

Semasa sidang akhbar pada 26 Jan, Apandi menunjukkan beberapa carta aliran kewangan berbilion dan berjuta-juta ringgit yang masuk ke akaun Najib.

Shukry juga memberitahu Sithambaram bahawa beliau mengingati tarikh 26 Feb 2016, kerana Najib mengarahkan beliau untuk memanggil Dzulkifli bagi mendapatkan penyata akaun banknya.


11 pagi: Prosiding bersambung semula selepas berhenti rehat.


'Najib arahkan saya untuk dapatkan penyata akaun dari DPP Dzulkifli'

10.16 pagi: Mahkamah diberitahu Najib Razak mengarahkan bekas ketua setiausaha sulitnya, Shukry Mohd Salleh untuk mendapatkan (Najib) penyata bank akaun beliau daripada DPP Dzulkifli Ahmad pada 26 Feb 2016.

Shukry berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh peguam utama, Muhammad Shafee Abdullah.

Terdahulu, Shukry memberi keterangan bahawa beliau menjadi ketua setiausaha sulit Najib dari April 16 2015 sehingga 30 Sept 2016.

Shafee: Adakah kamu masih ingat pada 26 Feb 2016, sama ada Tan Sri (Shukry) telah diberi apa-apa arahan daripada perdana menteri Najib?

Shukry: Ya.

Shafee: Apakah arahan itu?

Shukry: Pada masa itu, saya telah diarahkan untuk mendapatkan Datuk Seri Najib penyata akaun daripada Datuk Dzulkifli.

Shafee: Jadi, kamu kemudian menghubungi Datuk Dzul?

Shukry: Ya.

Shukry kemudian mengesahkan bahawa Dzulkifli adalah individu yang sama dengan Dzulkifli Ahmad, yang ketika itu Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dari Jabatan Peguam Negara yang kemudiannya menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Apabila Shafee bertanya sama ada Shukry kemudian membuat tindakan susulan dengan Dzulkifli berhubung permintaan itu, saksi itu kemudian menjawab dia terlibat dalam perkara-perkara lain, dan tidak ingat.

Shafee kemudian menyelesaikan pemeriksaan utama terhadap Shukry.

DPP V Sithambaram kemudian memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pihak pendakwaan memerlukan masa untuk bersedia bagi pemeriksaan balas.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian membenarkan prosiding berehat seketika dan akan disambung semula sekitar jam 10.45 pagi.


Bekas ketua setiausaha sulit Najib beri keterangan

10.04 pagi: Bekas ketua setiausaha sulit kepada bekas perdana menteri Najib Razak, Shukry Mohd Salleh (gambar di atas) memasuki kandang saksi untuk memberi keterangan.


10.04 pagi: Bekas ketua setiausaha sulit kepada bekas perdana menteri Najib Razak, Shukry Mohd Salleh memasuki kandang saksi untuk mula memberi keterangan bagi pihak pembelaan.


10 pagi: Bekas perdana menteri Najib Razak memasuki kandang tertuduh apabila prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali bermula.


9.45 pagi: Bekas perdana menteri, Najib Razak memasuki Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan mengambil tempat duduk di baris hadapan galeri awam sambil menunggu perbicaraan bermula.

Awal pagi ini, beliau dan barisan peguam menghadiri sebutan kes membabitkan dana RM2.28 bilion 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang berasingan.


Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad dijangka memberi keterangan pada hari ke-90 perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berhubung dakwaan penyelewengan RM42 juta dana SRC International hari ini.

Semalam pada akhir prosiding, peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Dzulkifli, dan juga bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Shukry Mohd Salleh, dijangka akan berada di kandang saksi hari ini.

Dzulkifli antara individu yang didakwa dalam sembilan rakaman audio berkaitan perbualan mengenai 1MDB yang didedahkan SPRM kepada media pada 8 Jan lalu.

Pada 3 Mac, Shafee memaklumkan kepada Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa pihaknya mungkin menyelesaikan kes pembelaan semalam.

Bagaimanapun, perbicaraan di peringkat pembelaan masih diteruskan hari ini.

Semalam, mahkamah diberitahu bahawa bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abu Kassim Mohamed mencadangkan kepada pasukan petugas khas 1MDB agar Najib didakwa. 

Semalam mahkamah antara lain juga mendengar daripada bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali bahawa Najib tidak mengetahui bahawa RM42 juta dana SRC International disalurkan ke akaun peribadi tertuduh.

Apandi juga mengulangi di mahkamah keputusannya pada 26 Jan 2016, untuk membebaskan Najib daripada salah laku berhubung isu derma RM2.6 bilion dan RM42 juta dana SRC International, yang kedua-duanya dimasukkan ke akaun peribadi tertuduh.

Najib kini menghadapi perbicaraan bagi satu pertuduhan salahguna kuasa, tiga tuduhan pecah amanah, dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung RM42 juta dana SRC International.

Prosiding di hadapan Nazlan mungkin bermula selepas jam 9 pagi kerana Najib dan pasukan pembelaan perlu menghadiri sebutan kes lain berkaitan 1MDB melibatkan dana RM2.28 bilion Mahkamah Tinggi berasingan di Kuala Lumpur.

Lihat Komen
ADS