Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hari 86: Pegawai SPRM sahkan rakam kenyataan Jerome Lee, Jho Low

LANGSUNG l Perbicaraan jenayah bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan dakwaan penyalahgunaan dana dari SRC International Sdn Bhd memasuki hari 86 hari ini di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Perbicaraan pagi ini merupakan yang pertama selepas pertukaran perdana menteri.

Malaysiakini membawakan anda laporan langsung prosiding.


LANGSUNG

11.17 pagi - Pegawai SPRM Azhari Karim dan Ting Ing Ping memberi keterangan bahawa mereka ada merakamkan kenyataan daripada Jerome Lee dan Low Taek Jho.

Kedua-dua saksi pembelaan mengesahkan demikian semasa pemeriksaan utama oleh peguam Najib Razak, Farhan Read.

Jerome Lee didakwa sebagai sekutu Jho Low. Kedua-dua banduan berkaitan dengan 1MDB itu tidak dapat dikesan sekarang.

DPP V Sithambaram memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak bercadang menyoal balas kedua-dua saksi itu.

Azhari dan Ting kemudian dibebaskan dari kandang saksi.

Kandungan kenyataan SPRM yang dirakamkan daripada Lee dan Low Taek Jho atau Jho Low tidak dibacakan di mahkamah.

Memandangkan pihak pembelaaan tidak lagi mempunyai saksi untuk dikemukakan hari ini, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan prosiding ditunda sehingga pukul 2.30 petang esok.

Pada akhir prosiding hari ini, Shafee memaklumkan kepada mahkamah bahawa dua orang saksi yang akan dipanggil untuk memberi keterangan esok adalah bekas penasihat undang-undang MIC Selva Mookiah dan seorang pegawai SPRM.

Prosiding akan bersambung semula pada jam 2.30 petang esok kerana Shafee mempunyai urusan lain di Mahkamah Rayuan pada sebelah pagi.


10.59 pagi: Prosiding diteruskan selepas berehat selama kira-kira 30 minit.


10.05 pagi: Mahkamah diberitahu bekas penasihat undang-undang MIC, Selva Mookiah Selva Mookiah bersama pasukan SPRM ketika suruhanjaya itu ke Riyadh pada 29 Nov 2015 bagi siasatan berkaitan 1MDB.

Perkara itu dinyatakan penolong pesuruhjaya SPRM Mohd Nasharudin Amir, saksi pembelaan kesembilan, ketika pemeriksaan balas dengan DPP V Sithambaram.

Nasharudin adalah pegawai penyiasat dalam kes derma RM2.6 bilion yang dikaitkan dengan Najib pada 2015.

Nasharudin

Sebelum ini, dia menerangkan menjadi esbahagian daripada pasukan SPRM yang ke Riyadh pada akhir Nov 2015.

Dia juga juta sebelum ini berkata bersama-sama seorang lagi pegawai SRM mengambil keterangan individu yang didakwa seorang putera Arab, Putera Saud Abdul Aziz Malik Abdul Aziz, dan keterangan Abdul Aziz ditandatangani peguamnya di Riyadh pada 29 Nov 2015.

Nasharudin juga sebelum ini berkata pihaknya mengambil keterangan Tan Kim Loong, didakwa sebagai sekutu Jho Low, juga di Riyadh.

Sithambaram: Anda jumpa Selva Mookiah ketika ambil keterangan (di Riyadh) pada 29 Nov 2015.

Nasharudin: Ya.

Sithambaram: Atas kapasiti apa dia (Selva) di Riyadh ketika dua keterangan diambli. Dia wakili siapa?

Nasharudin: Saya tidak pasti apa kerjanya di Riyadh. Saya hanya tahu dia ada di sana ketika keterangan diambil.

Sithambaram: Jika ada seorang peguam dalam pasukan SPRM ketika keterangan dimabil, apakah peranan dia di sana?

Nasharudin: Saya tak tahu.

Sithambaram: Adakah dia (selva) kata dia peguam Tan Kim Loong, atau orang lain?

Nasharudin: Tidak.

Selva adalah antara saksi yang dipanggil oleh pasukan pembelaan.


9.47 pagi: Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya tiba di mahkamah.

Beliau kemudian berkata tidak dapat memberi keterangan hari ini, dan hanya dapat berbuat demikian pada Khamis ini.

Terdahulu, peguam Muhammad Shafee Abdullah menjelaskan kepada mahkamah bahawa ada kesilapan dalam sapina terhadap Latheefa, dan berkata dia hanya boleh memberi keterangan pada hari yang lain.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian membenarkan Latheefa untuk memberi keterangan pada Khamis ini.


9.45 pagi: Pasukan pembelaan Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa mereka mungkin dapat menyelesaikan pembelaan pada Isnin depan.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah menyatakan perkara itu kepada DPP V Sithambaram, yang berkata pihaknya berharap pasukan pembelaan dapat menyelesaikan kes mereka pada hari itu.


9.37 pagi: Bekas perdana menteri Najib Razak masuk ke kandang tertuduh dan perbicaraan pun bermula.


Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya antara saksi yang sedia dipanggil pembelaan dalam perbicaraan terhadap Najib Razak berhubung dakwaan penyalahgunaan dana SRC International berjumlah RM42 juta hari ini.

Semalam, di akhir perbicaraan, ketua pembelaan Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Latheefa dan bekas penasihat undang-undang MIC, Selva Mookiah adalah dua saksi yang akan dipanggil hari ini.

Pembelaan mahu memanggil Latheefa untuk memberi keterangan berkenaan pendedahan SPRM pada 8 Januari lalu, berkenaan rakaman audio perbualan didakwa melibatkan tertuduh dengan beberapa individu berkaitan skandal 1MDB.

Semalam, pendakwaan cuba menyerahkan buletin Jakim bertarikh Februari 2010, dalam usaha menunjukkan keberadaan menteri di jabatan perdana menteri ketika itu, Jamil Khir Baharom pada 11 Januari tahun itu.

Buletin Jakim itu didakwa menyatakan Jamil, yang bertanggung dalam hal ehwal Islam, berada di satu program di Putrajaya pada tarikh tersebut.

Ketika perbicaraan 11 Februari lalu, Jamil Khir berkata beliau merupakan sebahagian delegasi Najib ke Arab Saudi dan pada tarikh itu (11 Januari 2010), Allahyarham Raja Abdullah Abdulaziz al Saud dikatakan berjanji memberi derma kepada Najib.

Bagaimanapun, peguam Najib semalam membantah buletin itu dijadikan bukti.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian hanya membenarkan dokumen itu dijadikan ID (identification dokumen) dan bukannya eksibit (ID bermaksud ketika prosiding, seorang saksi yang boleh dirujuk kepada dokumen itu tanpa kandungannya dibaca di mahkamah).

Hari ini, pasukan pembelaan dijangka turut meneruskan pemeriksaan semula saksi kesembilan mereka, penolong pesuruhjaya SPRM Mohd Nasharudin Amir.

Lihat Komen
ADS