Paling Popular
Terkini

KES SRC NAJIB | Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa bekas pesuruhjaya SPRM Abu Kassim Mohamed pernah memberi cadangan kepada pasukan petugas khas siasatan 1MDB agar Najib Razak didakwa.

Saksi pembelaan R Raja Gopal dalam keterangannya, berkata Abu Kassim membuat cadangan itu ketika pertemuan dengan pasukan itu pada 4 Julai 2015.

Raja Gopal, ketika itu termasuk dalam unit dalam jabatan siasatan jenayah komersial, berkata dia hadir ke pertemuan itu bagi mewakili ketua polis negara ketika itu, Khalid Abu Bakar.

Petugas khas siasatan 1MDB yang merangkumi pelbagai agensi diketuai peguam negara ketika itu, Abdul Gani Patail, dan antara lain dianggotai Khalid dan Zeti Akhtar Aziz (bekas gabenor Bank Negara).

Ia ditubuhkan bagi menyiasat isu RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Najib Razak, didakwa sebagai derma daripada keluarga diraja Arab Saudi, serta RM42 juta yang didakwa daripada SRC International.

Bagaimanapun, pada Julai 2015, kerajaan dilaporkan menamatkan khidmat Gani sebagai peguam negara atas alasan kesihatan.

Apandi Ali

Najib kemudian melantik Apandi Ali sebagai peguam negara baru, yang kemudiannya membersihkannya daripada segala kesihatan dalam isu derma Rm2.6 bilion dan RM42 juta dana SRC.

Shafee: Ada sesiapa dalam mesyuarat (4 Julai 2016) mencadangkan agar tindakan mahkamah diambil dalam kes RM42 juta SRC International?

Raja Gopal: Dalam mesyuarat itu, daripada apa yang dikatakan Dzulkifli Ahmad (ketika itu DPP), saya dalam mesyuarat dengan Abu Kassim, yang kemudian mencadangkan agar Najib didakwa dalam kes RM42 juta dana SRC.

Shafee: Dia (Abu Kassim) mencadangkannya kepada petugas khas dan pengerusinya (Gani)?

Raja Gopal: (Cadangan) dibuat dalam (mesyuarat) petugas khas (pada 4 Julai 2015).

Shafee: Dia (Abu Kassim) cadangkan agar (Najib) didakwa?

Raja Gopal: Ya.

Shafee: Abu Kassim mencadangkan bahawa seorang perdana menteri didakwa berkaitan kes RM42 juta SRC?

Raja Gopal: Ya.

Berkenaan soalan Shafee sama ada pasukan petugas itu menerima cadangan Abu Kassim, Raja Gopal berkata tidak.

Shafee: Adakah peguam negara ketika itu (Gani) buat keputusan (untuk dakwa Najib)?

Raja Gopal: Tidak.

Raja Gopal berkata demikian ketika pemeriksaan utama dengan Shafee bagi perbicaraan kes RM42 juta SRC International terhadap Najib, di depan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali, hari ini.

Najib berdepan dengan tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram, berkaitan wang tersebut yang masuk ke akaun peribadinya.

Berkenaan soalan Shafee sama ada Abu Kassim membuat cadangan itu selepas SPRM mengambil keterangan Najib dalam kes SRC, Raja Gopal berkata dia tidak tahu tentangnya.

Katanya lagi, dia juga tidak sedar bahawa SPRM telah mengambil kenyataan daripada saksi utama, seperti bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dan bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin, sebelum cadangan diberikan kepada petugas khas agar Najib didakwa.

Katanya, orang terbaik untuk menjawab soalan-soalan itu ialah pegawai penyiasat sendiri.

Ketika pemeriksaan balas dengan DPP V Sithambaram, Raja Gopal mengakui ingatannya berkenaan cadangan Abu Kassim itu dibantu setelah mendengar rakaman audio perbualan Najib dengan beberapa personaliti berkaitan 1MDB.

Antaranya ialah Dzulkifli dan isteri Najib, Rosmah Mansor.

Dzulkifli kemudian menggantikan Abu Kassim sebagai ketua pesuruhjaya SPRM pada Ogos 2016.

Abu Kassim kini menjadi ketua pengarah Pusat Governans, Integriti, dan Antirasuah Nasional (GIACC).

Zulkifli meletakkan jawatan di SPRM pada 14 Mei 2018, kira-kira seminggu PH menang PRU ke-14.

Lihat Komen
ADS