Ketua Umno Bukit Bendera hilang jawatan kerana muflis
Ketua bahagian Umno Bukit Bendera, Pulau Pinang, Datuk Ahmad Ismail terlucut semua jawatannya dalam parti selepas diisytihar muflis.
Ketua bahagian Umno Bukit Bendera, Pulau Pinang, Datuk Ahmad Ismail terlucut semua jawatannya dalam parti selepas diisytihar muflis.
Beliau diisytiharkan muflis minggu lalu. Berikutan itu jawatan Ketua Umno Bukit Bendera dipangku oleh Timbalan Ketua Bahagian berkenaan, Ishak Ismail.
Ini disahkan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Radzi Sheikh Ahmad semalam dalam satu sidang media di Putrajaya. Menurut beliau, perkara tersebut selaras dengan Perkara 28.11, Perlembagaan Umno yang melarang seseorang anggota parti yang muflis memegang sebarang jawatan.
Radzi juga mengumumkan secara automatik Ishak memangku jawatan ketua bahagian berkenaan.
"Sebagai pemangku, dia akan bertindak sebagai ketua iaitu boleh menghadiri mana-mana mesyuarat parti sekiranya dipanggil,"jelasnya.
Radzi berkata, ibupejabat Umno akan menghantar surat rasmi mengenai perlucutwatan Ahmad tidak lama lagi.
Menurut akhbar Utusan Malaysia hari ini, beberapa hari lalu Ahmad ini telah diarahkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang melepaskan jawatannya sebagai ahli majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang.
Beliau juga dijangka akan melepaskan jawatannya sebagai pengarah sebuah syarikat yang dikaitkan dengan projek Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR).

