Ketua Umno Bt. Bendera selamat dari perintah muflis
Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang diisytiharkan muflis baru-baru ini berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk menangguhkan pelaksanaan perisytiharan muflis terhadapnya.
Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang diisytiharkan muflis baru-baru ini berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk menangguhkan pelaksanaan perisytiharan muflis terhadapnya.
Perintah mahkamah itu berjaya diperolehi semalam dan salinannya diserahkan oleh Peguam Ahmad, kepada Ketua Menteri, Datuk Koh Tsu Khoon hari ini.
Difahamkan penangguhan itu diminta kerana Ahmad telah berjaya menyelesaikan hutangnya.
Dalam sidang akhbarnya selepas mengadakan pertemuan dengan pucuk pimpinan Umno pulau Pinang dan Bukit Bendera hari ini, Koh berkata berdasarkan keputusan yang dikeluarkan oleh mahkamah semalam, kerajaan Pulau Pinang akan merujuk semula kepada Jabatan Insolvensi bagi membersihkan segera nama Ahmad.
Menurut laporan Bernama, barisan kepimpinan Umno itu datang ke Dewan Undangan Negeri di Pulau Pinang bagi menyerahkan salinan perintah mahkamah itu di samping mahu mendapatkan penjelasan mengenai kedudukan Ahmad.
"Jabatan Insolvensi perlu memberi keutamaan kepada kes itu supaya kerajaan negeri dapat mengadakan mesyuarat segera bagi menentukan kedudukan Ahmad sebagai Anggota Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).
"Kita mendapat salinan perintah itu yang dikeluarkan pagi ini melalui peguam Datuk Ahmad. Kita merujuk secepat mungkin kes ini kepada Jabatan Insolvensi supaya nama beliau dapat dibersihkan. Ini adalah mengikut prosedur dan terserah kepada Jabatan Insolvensi untuk mengeluarkan kenyataannya kepada kerajaan negeri," katanya.
Koh berkata mesyuarat Exco Kerajan Negeri semalam turut membincangkan mengenai kedudukan Ahmad dan memutuskan perkara itu perlu dirujuk segera kepada Jabatan Insolvensi kerana jabatan itu merupakan pihak berkuasa yang menentukan sama ada seseorang itu muflis atau tidak.
"Pada kefahaman kami, perintah yang baru itu mengetepikan apa yang berlaku dahulu kerana ia (perintah lama) berlaku disebabkan masalah teknikal. Kami difahamkan kes hutang beliau telah selesai tetapi ada isu teknikal yang tidak disedari oleh beliau dan beberapa pihak lain, termasuk Jabatan Insolvensi," katanya.
Koh berkata keputusan yang dibuat pada mesyuarat exco yang lepas bagi melucutkan jawatan Ahmad sebagai Anggota MPPP didasarkan kepada notis yang dihantar oleh Jabatan Insolvensi pada 8 Mei lepas.
Ikut prosidur
"Kami pun kena terima apa yang dimaklumkan oleh jabatan itu," katanya.
Beliau berkata tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri juga mengikut prosedur selepas mendapat notis itu dan kini kerajaan negeri juga akan mengikut prosedur selepas mendapat notis terbaru daripada Jabatan Insolvensi.
"Jadi, saya, Datuk Rashid dan pemimpin kerajaan negeri yang lain menasihatkan pemimpin dan penyokong Umno Bahagian Bukit Bendera supaya bersabar. Sehari dua ini kami akan mendapat penjelasan dan membereskan perkara ini," katanya.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, dan ahli Exco kerajaan negeri, Datuk Azhar Ibrahim, serta Timbalan Ketua Bahagian Bukit Bendera, Ishak Hamid.
Seramai 100 orang pemimpin dan anggota Umno Bahagian Bukit Bendera berkumpul secara aman di depan Bangunan Dewan Undangan Negeri sebagai tanda sokongan kepada Ahmad.
Abdul Rashid pula berkata prosedur serupa juga akan digunakan bagi menentukan kedudukan Ahmad sebagai Ketua Bahagian.
Katanya Badan Perhubungan Umno Negeri perlu mendapatkan dokumen pengesahan terbaru daripada Pejabat Insolvensi berdasarkan keputusan mahkamah semalam bagi menentukan kedudukan Ahmad.
Semalam Setiausaha Agung Umno, Datuk Radzi Sheikh Ahmad berkata, semua jawatan Ahmad dalam parti terlucut secara automatik apabila beliau diisytiharkan muflis.

