Adun: Khidmat TNB bagaikan 'sarang labah-labah'
Mutu perkhidmatan Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak memuaskan, kerja-kerja penyelenggaraannya bagaikan 'sarang labah-labah', oleh itu kenaikan kadar tarif elektrik adalah tidak wajar, kata seorang penyokong kerajaan di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.
Mutu perkhidmatan Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak memuaskan, kerja-kerja penyelenggaraannya bagaikan 'sarang labah-labah', oleh itu kenaikan kadar tarif elektrik adalah tidak wajar, kata seorang penyokong kerajaan di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional bagi kawasan Komtar, Lim Gim Soon berkata, gangguan bekalan elektrik masih berlaku terutamanya di pusat komersial di bandar dan kerja-kerja penyelenggaraan amat buruk.
Beliau berkata pelanggan di pusat bandar kecewa dengan tahap perkhidmatan TNB kerana gangguan bekalan yang kerap berlaku menjejaskan perniagaan mereka.
"Kerja-kerja penyelenggaraan pula tidak lakukan dengan baik, ada kalanya dawai elektrik berselerak seperti "sarang labah-labah.
"Kita ada sarang labah-labah, cuma tidak ada spiderman sahaja. Jadi saya membantah kenaikan ini", katanya ketika membahaskan usul ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas pada persidangan DUN Pulau Pinang semalam.
Lim berkata, kenaikan tarif sebanyak 12 peratus itu membebankan rakyat dan boleh menyebabkan inflasi di kawasan bandar.
Menurutnya, apa yang membimbangkan rakyat ialah harga barang akan naik berikutan kenaikan tarif itu dan berharap kerajaan negeri mencari jalan untuk membantu golongan yang terjejas.
Tindakan bertanggungjawab
Sementara itu, Bernama melaporkan, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pula berkata, langkah menaikkian kadar4 tarif elektrik itu dibuat secara bertanggungjawab.
Katanya ia tidak dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya dilaksanakan secara bertanggungjawab selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak.
Katanya, selain keputusan kabinet, kerajaan turut mengambil kira pandangan pelabur tempatan dan asing sebelum menaikkan tarif yang sudah lama tidak berubah itu.
"Kerajaan tidak lakukannya secara sepontan kerana kami mengambil kira kepentingan rakyat supaya mereka tidak merasa bebanannya" katanya kepada pemberita di Kangar.
Rabu lalu, kerajaan mengumumkan kenaikan tarif pada kadar purata 12 peratus mulai 1 Jun ini tetapi ia tidak membabitkan lebih 60 peratus daripada pengguna yang membayar bil bulanan di bawah RM43.60.
Nor Mohamed menerima anugerah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri daripada Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Syed Sirajuddin Jamalullail.
Turut menerima anugerah SPMP ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi. Mereka adalah antara 198 penerima darjah dan pingat kebesaran bagi siri kedua itu, siri pertama berlangsung pada 17 Mei lalu di tempat yang sama.

