Paling Popular
Terkini

ULASAN | Setakat tulisan ini ditaip, Covid-19 telah memakan korban empat orang di Malaysia. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula sedang bersiap siaga untuk turun membantu polis bagi menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan.

Dunia sedang menghadapi detik bersejarah sejak peristiwa wabak Maut Hitam yang bermula di Eropah hampir 700 tahun lepas yang membunuh kira-kira satu pertiga penduduk dunia ketika itu. Adakah sejarah mungkin berulang?

Virus, sejenis kuman yang amat kecil berbanding jenis kuman yang lain di mana komuniti sains masih berdebat sama ada ia adalah benda hidup atau pun tida, kerana banyak ciri-ciri benda hidup tidak dimilikinya tetapi ia mampu membiak dengan cara "merampas jentera" dari mikroorganisma atau hos lain yang lebih kompleks dan menghasilkan protein melaluinya.

Selain virus, satu lagi kuman yang dipertikaikan statusnya sebagai benda hidup ialah Prion iaitu sejenis protein yang terkenal menyebabkan penyakit Lembu Gila.

Okey, cukuplah pengenalan mengenai virus. Apa yang perlu kita tahu ialah masa depan kita semua di negara ini dan juga dunia secara keseluruhannya. Sehingga kini vaksin untuk Covid-19 masih lagi di peringkat uji kaji. Ia memakan masa serta kos untuk dikomersialkan.

Malah berdasarkan beberapa laporan, vaksin pertama mungkin muncul seawal tiga bulan terakhir tahun ini. Maka logik untuk kita jangkakan bahawa penularan Covid-19 ini tidak akan berhenti dalam waktu terdekat.

Apabila kita menjenguk catatan sejarah, kita boleh menilai apa yang mungkin akan terjadi setelah Covid-19 ini berlalu. Apa-apa pun ia bergantung kepada skala kerosakan serta angka kematian muktamad yang disebabkan oleh pandemik ini.

Kita masih memerhati apakah ia bakal memberi kesan besar kepada negara-negara mundur dan membangun, antaranya di benua Afrika, India dan Amerika Latin, yang mana sistem kesihatan negara-negara di rantau itu dianggap tidak setanding Eropah yang makin teruk dilanda Covid-19 pada masa ini.

Ada beberapa perkara dalam kehidupan yang mungkin terkesan selepas berlalunya wabak berskala pandemik ini. Ia dapat dibahagikan kepada beberapa kategori, sama ada kesan ke atas dasar kerajaan, teknologi dan inovasi, persekitaran dan mungkin juga kesan ke atas psikologi dan mentaliti.

Paling terkesan ialah elemen sosial dan ekonomi. Kita sedar sekatan pergerakan yang sedang terjadi hampir seluruh dunia hari ini memberi kesan terhadap periuk nasi ramai orang. Kita faham banyak agenda kerajaan atau pun agenda peribadi rakyat di luar sana terbantut dek Covid-19.

Masyarakat dijangka akan makin peka terhadap pemvaksinan, penolakan terhadap hidangan makanan eksotik melibatkan haiwan-haiwan liar, penggunaan teknologi atas talian yang meminimumkan kontak fizikal dalam apa jua urusan, dan juga kesedaran mengenai hal-ehwal kesihatan awam dan komuniti.

Ia mungkin akan memberi kesan terhadap budaya bersosial pada sesetengah warga dunia selagi mereka tidak lupa apa yang pernah menimpa bangsa mereka, sepertimana di Itali di mana aktiviti bersosial dan tidak patuh kepada autoriti adalah antara faktor parahnya penularan Covid-19 di sana.

Dari segi ekonomi pula, ia mungkin memberi impak negatif dalam suatu jangka masa. Pasaran saham di dunia merudum, kemelesetan ekonomi global mampu menjatuhkan sesetengah kerajaan atau organisasi peringkat antarabangsa yang bergantung kepada kestabilan politik dan perdagangan.

Ia mungkin mencetuskan konflik antara kelas, akibat jurang golongan kaya dengan golongan miskin yang makin meluas, hingga memungkinkan tercetusnya pergolakan ke tahap perang sivil jika ada provokasi dilakukan.

Namun adakah semuanya impak negatif sahaja pasca Covid-19 nanti? Mungkin tidak. Sepertimana bencana-bencana yang pernah dilalui tamadun-tamadun manusia sebelum ini, pihak yang terselamat (survivors) biasanya akan bangkit untuk membina kehidupan baru dengan peluang-peluang baru yang biasanya muncul setelah populasi manusia berkurangan akibat sesuatu bencana. Jika dijenguk sejarah pasca wabak Maut Hitam dahulu, akibat kekurangan manusia, maka upah untuk buruh meningkat seiringan dengan kehendak pasaran.

Begitu juga dengan perkembangan teknologi serta inovasi. Pasca wabak Maut Hitam dahulu telah memunculkan beberapa ciptaan yang menyumbang kepada peningkatan tahap kebersihan serta kesihatan umum.

Contohnya pembinaan sistem kumbahan yang lebih moden, tandas simbah, penemuan antibiotik dan penghasilan pakaian doktor wabak dengan topeng berbentuk paruh burung sebagai Pakaian Perlindungan Peribadi (PPE) terawal di Perancis dan Itali dalam abad ke-17. Ya, ia mengambil masa berpuluh malah mungkin ratusan tahun untuk manusia bangkit semula.

Kita bakal melihat pasaran e-dagang akan menjadi medium urus niaga utama, perkhidmatan kurier yang makin diperkasakan serta penggunaan teknologi dron yang lebih meluas. Kita juga boleh menjangkakan teknologi robotik dan kecerdasn buatan (AI) akan menggantikan atau melengkapi tugas-tugas yang secara tradisionalnya dijalankan oleh manusia.

Kita mungkin akan melihat sistem kewangan baru berasakan ekonomi digital yang meminimumkan transaksi fizikal. Dan sudah semestinya kita akan lihat pengaruh badan-badan dunia seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan jadi lebih hebat.


DR MUHAMMAD FAIZ NA'AMAN ialah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS