Pihak kementerian pendidikan tidak akan menguatkuasakan sebarang peraturan terhadap pilihanraya kampus yang akan diadakan pada bulan depan, kata pengarah jabatan pendidikan tinggi Prof Hassan Said.

Menurut Hassan pilihanraya kampus akan dikendalikan oleh setiap Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan kementerian pendidikan tidak akan campurtangan.

Buat pertama kalinya semua pilihanraya kampus dijadualkan pada bulan November.

Beliau menambah pilihanraya kampus semua IPTA diadakan pada bulan yang sama untuk membolehkan pelajar memberi perhatian kepada pelajaran mereka.

"Dulu pilihanraya diadakan pada bulan Ogos atau bulan April, pelajar akan pergi ke IPTA yang berlainan berkempen untuk kawan mereka," kata Hassan.

Sementara itu, beliau berkata aduan tempoh kempen yang terlalu pendek bukan dalam bidang kuasa beliau sebaliknya tertakluk kepada pentadbiran IPTA tersebut.

Malaysiakini difahamkan Pelajar Universiti Teknologi Malaysia mengadu bahawa jangkamasa berkempen terlalu pendek untuk pelajar membuat persiapan.

Hari penamaan calon UTM ditetapkan pada 19 November sementara hari pengundian ialah pada 22 November.

Akujanji

Selain itu, pelajar sidang baru IPTA pada sesi akademik 2002/2003 akan diwajibkan menandatangi "akujanji" pelajar dengan kerajaan pada tahun depan.

Perjanjian itu dikemukakan supaya pelajar menumpukan perhatian kepada pengajian dan tidak melibatkan diri dalam kegiatan anti kerajaan.

Pada masa yang sama, beliau juga mengumumkan dalam sidang akhbar hari ini bahawa kaedah penyediaan merit untuk lepasan SPM dan STPM bagi kemasukan ke IPTA pada sesi akademik 2002/2003 hanya akan berdasarkan pencapaian akademik.

"Markah ko-kurikulum hanya digunakan sebagai penentu jika terdapat dua atau lebih pemohon yang mempunyai kedudukan merit yang sama," kata Hassan.

Sebelum ini semenjak sesi 1996/1997, markah keseluruhan diperolehi dengan mengambil kira 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah ko-kurikulum.

Menurut Hassan, tindakan itu diambil kerana setiap tahun ramai pelajar mengadu terhadap masalah kemasukan IPTA, antaranya seorang pelajar STPM sesi 2000/2001 yang mendapat 4A tetapi tidak diterima masuk ke kursus perubatan.

Syarat minimum

Pada masa yang sama, Hassan juga mengumumkan bahawa syarat minimum untuk kemasukan ke IPTA adalah gred E dalam tiga mata pelajaran termasuk pengajian am.

Sebelum ini, syarat minimum adalah dua E dan dua R.

Selain itu, pelajar juga dibenarkan mengisi lapan pilihan bidang kursus dalam borang permohonan berbanding dengan lima pilihan terdahulunya.

Hassan juga menegaskan bahawa tiada perubahan dalam sistem kuota buat masa ini kerana ia adalah dasar pendidikan.

Tambah beliau jabatannya akan memantau dan mengumpul maklumat bilangan lulusan universiti yang sedang menganggur.

"Selepas semua IPTA adakan konvokesyen, kami akan tahu keadaan yang lebih jelas," kata Hassan.