Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dua kampung di Johor dikenakan 'perintah berkurung'
Diterbitkan:  Mar 26, 2020 9:20 PM
Dikemaskini: 2:57 PM

Dua kawasan petempatan di Kluang, Johor dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) ekoran terdapat kes positif Covid-19 yang tinggi, kata Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, kawasan itu ialah Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam.

Katanya terdapat 83 kes positif wabak itu di Kluang dan daripada jumlah itu, 61 ada di dua petempatan terbabit.

"Mengambil kira jumlah kes yang tinggi di dua kawasan tersebut, kerajaan atas nasihat menteri kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan PKPD.

"Ia melibatkan 3,570 orang penduduk tempatan daripada 650 keluarga.

"Perintah ini akan berkuatkuasa mulai tengah malam ini, 27 Mac hingga 9 April," katanya dalam satu kenyataan.

Dengan pelaksanaan PKPD beberapa peraturan ketat dikenakan, iaitu:

  1. Semua penduduk tempatan dan pelawat yang telah berada di kedua-dua kawasan tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.
  2. Bukan penduduk tempatan dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kedua-dua kawasan sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.
  3. Semua aktiviti perniagaan dihentikan.
  4. Makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk tempatan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
  5. Pangkalan perubatan (medical base) akan dibuka di kawasan PKPD.
  6. Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.
  7. Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan mengawal seluruh kawasan.

Menurut Ismail Sabri, PKPD itu dilaksanakan untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular keluar dari kawasan tersebut.

"Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari," katanya.

Menurut menteri kanan terbabit, penduduk di situ diminta bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas Kementerian Kesihatan Malaysia serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa," katanya.

Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 07-7735224 / 07-7722434.

Sementara itu Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, berharap orang ramai mendoakan penduduk kampung terbabit serta petugas yang menguruskannya.

Katanya pejabat Parlimen Simpang Renggam juga akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dikekang sepenuhnya.

"Di pihak pejabat parlimen, kami akan sentiasa memaklumkan dan mengemas kini maklumat serta bantuan yang boleh disalurkan.

"Hubungi talian Pejabat Parlimen Simpang Renggam ini untuk sebarang aduan atau info, iaitu 010-235 0151," katanya.

Lihat Komen
ADS