Bencana lain yang ditakuti dan diawasi, bencana lain pula yang menimpa. Itulah yang terjadi kepada jutaan penduduk Yogyakarta, Indonesia.

Gunung Merapi memberi amaran akan meletup pada bila-bila masa namun tidak semena-mena menjelang subuh Sabtu lalu gempa bumi datang secara mengejut dan meragut ribuan nyawa.

Seorang penduduk Yogyakarta, Agus Priyanto berkata, penduduk lebih mewaspada terhadap ancaman Gunung Merapi yang masih aktif dan tidak menyangka sama sekali bencana yang menimpa berupa gempa bumi.

Beliau memberitahu wakil Bernama di Jakarta, bahawa penduduk tidak pernah diberitahu mengenai kemungkinan gempa bumi ini kerana mungkin pihak berkuasa juga tidak dapat mengesan awal kemungkinan kejadian itu.

Penduduk di sekitar kaki Gunung Merapi sejak dua minggu lalu telah diberi amaran kemungkinan gunung tersebut akan meletupkan setelah ia beberapa kali memuntahkan abu dan lahar. Penduduk di sekitarnya telah diarahkan berpindah.

Jumlah mangsa yang terkorban dalam kejadian gempa bumi di Yogyakarta sehingga tengah hari tadi dilaporkan meningkat mendadak kepada 5,135 orang sehingga berbanding 3,700 orang yang dilaporkan petang semalam.

Angka terbaru yang dikeluarkan oleh Pusat Menangani Bencana Yogyakarta juga menyatakan, gempa bumi dengan kekuatan 5.9 pada skala Richter itu, turut memusnahkan lebih 45,000 rumah kediaman dan bangunan lain yang mengakibatkan lebih 200,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Bagaimanapun mengikut beberapa agensi geologi asing, rekod sebenar kekuatan gempa bumi yang berlaku pada pukul 5.55 pagi Sabtu itu berukuran 6.2 pada skala Richter.

Sepanjang dua hari pertama kejadian, lebih 500 gempa susulan pada skala yang lebih kecil direkodkan oleh Badan Meteorologi dan Geofisik (BMG) Indonesia, namun hanya kira-kira 10 kali gegaran dapat dirasakan oleh manusia.

Media massa tempatan juga melaporkan bahawa sebahagian besar mangsa yang kini tinggal di khemah-khemah sementara, berada dalam keadaan serba kekurangan dan sangat mengharapkan bantuan khasnya makanan dan air minuman bersih, tikar dan alas tidur, khemah yang kalis air hujan, susu tepung untuk anak-anak dan bayi serta pakaian.

Pemerintah Indonesia dilaporkan mulai menyalurkan bantuan keperluan segera mangsa-mangsa pemindahan itu manakala bantuan dari beberapa negara asing juga telah mulai tiba.

Sementara itu, sukarelawan dari pelbagai wilayah mulai tiba bagi membantu polis dan tentera Indonesia menjalankan usaha mencari dan menyelamat. Tumpuan mereka ialah mencari mangsa yang dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan rumah terutama di kawasan terdapatnya bau mayat yang kuat.

Banyak penduduk dipercayai tidak sempat menyelamatkan diri sehingga tertimbus kerana ketika kejadian di awal pagi itu ramai yang masih tidur di rumah masing-masing.