"Kita hidup dalam dunia yang penuh dengan perkara yang bertentangan. Dunia yang aneh."

Itulah yang ditegaskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap merasmikan satu persidangan mengenai kemiskinan di sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur hari ini.

"Dengan innovasi teknologi yang hebat kita menghantar manusia ke Marikh namun dunia ini masih dibelenggu masalah keperluan asas manusia iaitu makanan dan tempat tinggal,"tegasnya.

Persidangan sehari bertemakan 'Ke arah menghapuskan kemiskinan di Malaysia' dihadiri oleh kira-kira 100 peserta namun dalam keghairahan membicarakan soal kemiskinan itu, para peserta disajikan dengan makanan tengah hari enam hidangan yang lazat dan mewah.

Menurut seorang peserta, Richard Yeoh, ini adalah suatu yang pelik.

"Mungkin persidangan ini patut diadakan di tempat yang lebih sederhana," katanya yang merupakan Pengarah Eksekutif sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Institut Penyelidikan Kemajuan Sosial.

"Adalah lebih sesuai jika dianjurkan perkemahan di kampung supaya para peserta terutama para pegawai kerajaan yang terbabit dalam membuat dasar melihat dan mengalami sendiri erti kemiskinan yang sebenarnya," tambah beliau.

Yeoh juga berkata, kerajaan perlu bersikap lebih realistik menangani kemiskinan di bandar dengan melaksanakan langkah-langkah berkesan untuk menyelesaikannya.

"Adalah tidak wajar pendapatan kurang RM500 sebulan ditetapkan sebagai paras kemiskinan kerana wang saku seorang pelajar kolej pun sebanyak itu sekarang ini," ujarnya.

Sementara itu Pengarah Eksekutif Yayasan Sosial Strategik, Dr Denison Jayasooria yang membentangkan kertaskerja di persidangan itu pula berkata, peruntukan RM50 juta dalam RKM9 untuk menangani masalah kemiskinan di bandar adalah tidak mencukupi.

"Kita perlu lebih bersungguh-sungguh melaksanakan projek-projek menghapuskan kemskinan di bandar. Peruntukan tersebut adalah amat kecil jika dibanding dengan projek kerajaan yang lain,"katanya.

Kadar kemiskinan negara ini ialah 5.7 peratus pada 2004 berbanding to 8.5 peratus pada 1999. Bagaimana kemsikinan di bandar meningkat daripada 86,100 keluarga pada 1999 kepada 91,600 keluarga pada 2004.

Dalam RMK9 kerajaan mensasar menurunkan kadar kemiskinan kepada 2.8 peratus dan menghapuskan kemiskinan tegar pada tahun 2010.