Samy Vellu tarik balik keputusan tidak senarai 'calon pilihan'
Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu menelan baik kata-kata untuk tidak berpihak dalam pemilihan 23 anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC) bagi bertanding pada pemilihan parti 24 Jun ini.
Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu menelan baik kata-kata untuk tidak berpihak dalam pemilihan 23 anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC) bagi bertanding pada pemilihan parti 24 Jun ini.
Baru minggu lalu, Samy Vellu menyatakan tidak akan mengeluarkan senarai calon CWC pilihannya kerana ramai ahli dewan undangan negeri dari MIC dan pemimpin negeri mahu berada dalam senarai tersebut.
Beliau membayangkan senarai 'calon pilihannya' akan dipenuhi oleh para penyokongnya yang kini menjadi ahli exco kerajaan negeri, ahli Parlimen dan Senator.
"Senarai CWC adalah campuran ahli exco negeri, Ahli Parlimen dan Senator. Terdapat perubahan minimum... majoriti ahli dewan undangan negeri adalah dalam senarai itu," katanya
Katanya, kebanyakan penyandang CWC telah dikekalkan dalam senarai kerana mereka telah menunjukkan kemampuan untuk bekerja sebagai satu pasukan.
Presiden MIC itu mempunyai tradisi mengeluarkan senarai penuh calon pilihan pada setiap pemilihan parti dan calon pilihan dianggap "calon presiden".
Menurut laporan Bernama, beberapa anggota CWC telah berjumpa dengan Presiden parti itu selepas pengumuman bahawa beliau tidak akan mengeluarkan senarai rasmi calon CWC.
Mereka memberitahu Samy Vellu bahawa lebih baik beliau mengeluarkan satu senarai calon kerana 1,348 perwakilan yang bakal mengundi pada pemilihan itu akan mengetahui siapa pilihan presiden.
Pencalonan akan diadakan Ahad ini.
Penyokong Subramanian
Kecuali jawatan presiden yang dimenangi oleh Samy Vellu tanpa bertanding bagi penggal ke-10 pada 10 Mac lepas, pemilihan MIC kali ini akan menyaksikan pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden dan 23 anggota CWC.
Perlembagaan parti itu juga membenarkan presiden melantik sembilan lagi anggota CWC.
Samy Vellu sebelum ini telah mengumumkan Naib Presiden Datuk G. Palanivel sebagai 'calon pilihan' untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden menentang penyandang Datuk S. Subramaniam.
Samy Vellu juga menamakan Naib Presiden Datuk S. Veerasingham dan Tan Sri K. S. Nijhar untuk menyandang semula jawatan itu manakala calon pilihan Naib Presiden ketiga ialah Setiausaha Agung MIC Datuk S. Sothinathan.
Bernama yang memetik sumber parti itu juga melaporkan bahawa 21 daripada 23 penyandang anggota CWC akan dikekalkan.
M. Seelathevan dan S. P. Manivasagam, kedua-duanya dari Selangor, akan digugurkan dan diganti dengan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Sri Andalas (Klang), Kamala Ganapathy dan Setiausaha Parlimen Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dr S. Subramaniam.
Subramaniam, ahli Parlimen Segamat, adalah timbalan ketua MIC Melaka.
Samy Vellu juga dikatakan telah mengeluarkan surat menamatkan khidmat dua orang anggota CWC yang dilantik. Kedua-dua mereka ialah Datuk V. Govindaraju dari Selangor dan Tan Sri G. Pasamanickam dari Johor, iaitu dua pemimpin veteran MIC yang dikatakan berpihak kepada Timbalan Presiden.

