Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKP fasa pertama beri kesan positif pada alam sekitar
Diterbitkan:  Apr 1, 2020 9:35 AM
Dikemaskini: 1:38 AM

Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak Covid-19 juga memberi kesan baik kepada alam sekitar, kata Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Menteri Alam Sekitar itu, beberapa lokasi dianalisis dan didapati kadar kualiti udara di tempat terbabit semakin baik ketika PKP tahap pertama dilaksanakan.

Katanya arah aliran pencemaran udara bagi nitrogen dioksida, sulfur dioksida, karbon monoksida dan habuk halus bersaiz diameter 2.5 mikron di Batu Muda dan Cheras di Kuala Lumpur, dan Putrajaya menurun dengan ketara antara 1 hingga 30 Mac.

Menurut timbalan presiden PAS itu, bagi nitrogen dioksida ia menurun antara 55 hingga 68 peratus, sulfur dioksida (17 hingga 34 peratus); karbon monoksida (6 hingga 15 peratus) dan habuk halus 2.5 mikron (6 hingga 14 peratus).

Selain itu, kata Tuan Ibrahim, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut meluaskan analisis di stesen pengawasan kualiti udara di Shah Alam, Ipoh, Pulau Pinang, Kuantan, Seremban, Melaka, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu.

Menurutnya di situ juga didapati arah aliran menunjukkan penurunan jelas iaitu nitrogen dioksida (11 hingga 62 peratus), sulfer dioksida (5 hingga 22 peratus), karbon monoksida (2 hingga 25 peratus) dan habuk halus 2.5 mikron (2 hingga 23 peratus).

"Tindakan PKP bukan sahaja dapat memutuskan rantaian Covid-19, malah mengurangkan pencemaran alam sekitar.

"Ia ekoran pengurangan aktiviti seperti pelepasan asap kenderaan, asap cerobong industri dan pembakaran terbuka," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Elak pembakaran terbuka

Untuk rekod PKP mula dilaksanakan sejak 18 Mac lalu sebagai langkah kerajaan memutuskan rantaian penyebaran koronavirus yang setakat ini mengorbankan lebih 42,100 orang di seluruh dunia.

Jumlah korban Covid-19 di Malaysia setakat semalam ialah 43 orang. Hari ini bermula pula fasa kedua PKP dan dijadual berlanjutan sehingga 14 April.

PKP menyaksikan pergerakan orang ramai dikawal dengan teliti dan lalu-lintas diminimumkan. Ia sepatutnya memberi kesan positif kepada usaha pihak yang berkenaan melawan Covid-19.

Bagaimanapun pada masa sama ia memberi kesan yang besar kepada sesetengah orang, terutama golongan berpendapatan rendah atau yang memperolehi gaji secara harian.

Sektor perkilangan juga terjejas apabila sebahagian daripada perniagaan terpaksa menghentikan atau meninimumkan operasi.

Menurut Tuan Ibrahim untuk mengetahui kualiti udara semasa orang ramai boleh membuat rujukan kepada pautan JAS di http://apims.doe.gov.my/v2/ atau memuat turun aplikasi MyIPU.

"Rakyat juga dinasihatkan beliau agar tidak melakukan pembakaran terbuka untuk mengurangkan risiko cuaca panas dan kering buat masa ini," katanya.

Lihat Komen
ADS