Orang ramai perlu membersihkan kediaman dan kenderaan masing-masing untuk lebih memastikan mereka tidak dijangkiti Covid-19, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan itu berkata kewajipan untuk memastikan kebersihan diri adalah tugas yang tidak boleh diserahkan kepada orang lain.
"Virus ini sudah ada di dalam masyarakat kita, boleh jadi di mana-mana sahaja, jadi tinggal di rumah supaya selamat.
"Ia boleh (bersembunyi) di luar rumah anda juga. Jadi tinggal di rumah, bersihkan rumah dan kereta anda," katanya ketika dihubungi pada petang ini.
Malaysiakini menghubungi Noor Hisham untuk pengesahan aktiviti nyahkuman yang dijalankan di premis persendirian, termasuk di ibu pejabat sebuah syarikat akhbar di Bangsar, Kuala Lumpur hari ini.
Noor Hisham berkata beliau tidak maklum dengan aktiviti nyahkuman di pejabat syarikat akhbar berkenaan, namun menegaskan bahaya Covid-19 dan mengingatkan orang ramai agar menjaga kebersihan.
Beliau berkata mereka yang keluar tidak tahu apa yang dibawa pulang ke rumah mereka di kasut atau baju mereka, dan mereka boleh membawa pulang virus itu.
"Anda tidak boleh mengharapkan Dewan Bandaraya atau Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membersihkan rumah anda.
"Jika kita tidak menjaga kebersihan diri kita, maka siapa yang boleh melakukannya?" katanya.
Sehingga tengah hari ini, Malaysia mencatatkan 43 kematian yang dikaitkan dengan Covid-19, manakala jumlah kes positif meningkat kepada 2,766.
Daripada angka itu, 537 pesakit telah pulih sepenuhnya dan keluar dari hospital, sementara 94 yang lain masih berada di unit rawatan rapi termasuk 60 yang harus bergantung kepada bantuan pernafasa,
Kerajaan telah mengenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) dalam usaha untuk membendung penularan virus berkenaan.
PKP pada mulanya ditetapkan selama dua minggu dari 18 Mac hingga 31 Mac, tetapi dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 14 April.
Bagaimanapun, pihak berkuasa mendapati masih ada pihak yang enggan mematuhi PKP dan berada di luar rumah tanpa sebab yang munasabah.
Sehingga semalam, lebih 3,000 orang telah ditangkap, dengan 246 daripadanya dituduh di mahkamah kerana melanggar perintah itu.
Setakat ini, tiga kawasan di Johor, Selangor dan Kuala Lumpur, termasuk sebuah kondominium, telah dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
