Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keputusan exco S’gor tiada bazar Ramadan tahun ini - MB

KORONAVIRUS l Menteri Besar Selangor Amiruddin Shaari, berkata bahawa mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini membuat keputusan untuk membatalkan penganjuran bazar Ramadan susulan penularan wabak Covid-19.

Katanya, keputusan itu dibuat berdasarkan situasi semasa wabak di Selangor namun sekiranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membenarkan bazar Ramadan dianjurkan selepas ini, pihaknya akan mengguna pakai saranan tersebut.

"Kami majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) mengadakan mesyuarat hari ini, akan mengeluarkan arahan untuk tangguhkan pelaksanaan dan membatalkan apa-apa pelaksanaan bazar Ramadan. Seluruh Selangor akan dibatalkan.

"(Sebelum ini) kami membuat perbincangan atas talian dengan semua Yang Dipertua PBT (pihak berkuasa tempatan) untuk mengambil keputusan menangguhkan bazar Ramadan.

“Ia hanya akan ditarik semula jika KKM membenarkan kita untuk lakukan," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas keputusan kerajaan negeri mengenai kebenaran untuk bazar Ramadan beroperasi di Selangor.

Ini kerana, Menteri Wilayah Annuar Musa berkata bahawa pihaknya belum membuat sebarang keputusan sama ada untuk membenarkan bazar Ramadan diadakan walaupun mengakui ia sebagai satu keperluan.

Walau bagaimanapun, Amiruddin berkata bahawa beliau percaya akan ada bazar Ramadan atas talian.

“Namun saya percaya, dengan keupayaan penjualan dan penghantaran makanan secara dalam talian masa kini, mungkin akan ada pula bazar Ramadan Online,” katanya .

Terdahulu, Amiruddin mengumumkan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 memperuntukkan RM272.5 juta dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Selain bantuan kewangan kepada rakyat Selangor dan petugas barisan hadapan, beliau juga memperuntukkan RM100.7 juta untuk program digitalisasi di negeri Selangor.

"Situasi sedia ada mendorong kerajaan negeri Selangor untuk menerapkan digitalisasi sebagai fulkrum pentadbiran ini.

"Melalui usaha baharu e-learning, Selangor Advance, Inisiatif Digital Selangor Grab, Selangor mempunyai iltizam untuk ‘stay ahead of the game’ dengan memacu ekonomi negeri melalui digitalisasi agar ekonomi negeri dapat mencipta peluang pekerjaan baharu serta menjaga pekerjaan yang sedia ada," katanya.

Selain itu, semua urusan pembayaran cukai tanah, tempoh bayaran cukai tanah dan cukai petak dilanjutkan sehingga 31 Julai 2020.

Manakala, tempoh bayaran premium dilanjutkan selama satu bulan bagi tempoh pelaksanaan PKP.

"Usaha ini memakan belanja sebanyak RM87.81 juta," katanya.

Sementara itu, Amiruddin turut mengumumkan peruntukan khas kali kedua kepada Ahli Dewan Negeri sebanyak RM30 ribu.

"Manakala, ahli-ahli majlis, ketua kampung tradisi, pengerusi MPKK kampung baru, ketua komuniti juga akan disalurkan peruntukan khas dari PBT masing-masing kecuali Majlis Daerah Sabak Bernam yang akan disalurkan oleh kerajaan negeri," katanya.

Lihat Komen
ADS