Dewan Perniagaan dan Industri ASEAN sumbang peralatan perubatan
Dewan Perniagaan dan Industri ASEAN menyumbangkan kira-kira 1,000 kelengkapan perlindungan diri kepada Hospital Sungai Buloh dan Hospital Selayang dalam membantu menangani pandemik Covid-19.
Presidennya, Moehamad Izat Emir berkata sumbangan itu antaranya pelindung muka, cecair pembasmi kuman, sarung tangan getah dan kasut getah sebagai tanda keprihatinan ahli-ahli dewan terhadap pengorbanan kakitangan Kementerian Kesihatan berdepan keadaan kritikal ketika ini.
"Terima kasih kepada seluruh ahli dewan kerana dalam tempoh beberapa hari sahaja berjaya mengumpul dana sumbangan dan membuat pesanan untuk membeli kelengkapan peralatan perubatan.
"Peralatan ini disalurkan ke Hospital Sungai Buloh dan Hospital Selayang pada Selasa. Diharap bantuan ini dapat memberi keselesaan kepada petugas hospital kerana jumlah pesakit yang dirawat akibat Covid-19 semakin bertambah," katanya di sini, hari ini.
Dewan juga merancang untuk menambah sumbangan sekiranya masih ada ahli memberi bantuan dana.
Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai diharap terus mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan wabak ini.
"Sebagai rakyat Malaysia kita harus bersatu memutuskan rantaian Covid-19 ini, " katanya.
-Bernama

