Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
WHO jangka kes Covid-19 Malaysia memuncak pertengahan April

Kes Covid-19 di Malaysia dijangka mencapai kemuncak sekitar pertengahan April ini, dan terdapat tanda-tanda bahawa lengkung jangkitan mengalami pelandaian, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

Malaysia mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi di Asia Tenggara dengan 2,908 kes yang disahkan setakat ini. Ia kini menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung penyebaran virus berkenaan.

“Berdasarkan data yang ada, pejabat WHO di Malaysia mengunjurkan Malaysia akan menyaksikan kemuncak kes yang dimasukkan ke hospital pada pertengahan April,” kata Ying-Ru Lo, yang merupakan ketua misi dan wakil WHO di Malaysia, Brunei dan Singapura dalam satu jawapan emel kepada Reuters.

Katanya lagi, bilangan pesakit kritikal pula dijangka mencapai kemuncak dalam minggu depan, namun menjelaskan unjuran tersebut boleh berubah.

“Terdapat tanda-tanda awal pelandaian lengkung (jangkitan), tetapi ini boleh melambung semula jika langkah kawalan ditarik balik dan jika orang ramai tidak terus mengambil langkah perlindungan,” kata Lo.

Lo berkata lagi, data berkenaan jangkitan baru setakat ini serta langkah pengawasan tambahan tidak menunjukkan akan berlakunya penyebaran meluas wabak dalam komuniti di negara ini.

Untuk rekod, penyebaran dalam komuniti merujuk jangkitan yang sumbernya tidak diketahui, atau hubungan kontaknya tidak dapat dikenal pasti.

Setakat ini, seramai 102 pesakit Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 45 kematian dicatatkan.

Kementerian Kesihatan Malaysia pada Rabu lalu berkata kadar jangkitan baru tampak semakin perlahan ketika penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Malaysia meningkatkan kapasiti ujian diagnosisinya baru-baru ini, dengan menjalankan lebih 7,000 ujian sehari, berbanding hanya 3,500 ujian sehari pada minggu lalu. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS