Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Oh - Perli Najib, lepas 'perlekeh' pusat kuarantin kerajaan Sabah
Diterbitkan:  Apr 2, 2020 8:14 PM
Dikemaskini: 6:29 PM

Bekas perdana menteri Najib Razak nampaknya seolah 'terlajak kata' kali ini selepas membidas kerajaan Sabah mengenai kualiti kemudahan pusat kuarantin di negeri itu.

Pada jam 2.40 petang tadi, Najib berkongsi klip video di laman Facebooknya yang dikatakan memaparkan seorang lelaki yang 'memperlekeh' keadaan usang kemudahan pusat kuarantin di Sabah.

"Ini keadaan pusat kuarantin yang disediakan kerajaan di Sabah," tulis Najib ringkas.

Kira-kira sejam kemudian, Najib menyusul dengan berkongsi berita Malaysiakini yang memetik Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Frankie Poon mengakui kemudahan asas dan tahap kebersihan di beberapa pusat kuarantin di negeri itu tidak mencapai piawai.

"Oh," kata Najib menyindir ketika memberikan maklum balasnya terhadap laporan berita itu.

Aset persekutuan

MP Kota Kinabalu Chan Foong Hin yang tidak berpuas hati dengan hantaran bekas perdana menteri di media sosial itu, kemudiannya mengeluarkan kenyataan petang tadi mendakwa Najib telah memfitnah kerajaan negeri.

"Memang ianya disediakan kerajaan, tetapi ianya disediakan kerajaan persekutuan Malaysia, bukan kerajaan Sabah!

"Saya telah mendapat pengesahan daripada Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Frankie Poon Ming Fung bahawa pusat kuarantin yang ditunjukkan oleh Najib Razak ini merupakan aset kerajaan persekutuan, bukan kerajaan negeri.

"Selain itu, pusat kuarantin tersebut juga disahkan boleh pakai oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah yang merupakan satu agensi kerajaan persekutuan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya.

Oleh yang demikian, Chan (gambar) berkata kerajaan negeri tidak bertanggungjawab terhadap keadaan berkenaan, terutamanya kerana kerajaan persekutuan yang mengarahkan sesiapa yang pulang dari luar negara mesti dikuarantin di kemudahan yang dikendalikan kerajaan selama 14 hari.

Katanya, Najib cuma tertarik dengan publisiti murahan dengan mempolitikkan perkara itu.

"Saya sangat kecewa dengan ahli politik dari kerajaan PN yang masih berkeras ingin bermain politik dalam keadaan yang meruncing kini.

"Kerajaan Persekutuan yang jauh lebih kaya daripada kerajaan negeri Sabah seharusnya lebih membantu rakyat Sabah dan bukannya setakat memainkan isu-isu untuk kepentingan politik," katanya lagi.

Tak tulis pusat kuarantin disediakan kerajaan Sabah

Dalam perkembangan susulan, Najib kemudian menyangkal kenyataan Chan dan berita Malaysiakini ini, berkata beliau tidak menulis pusat kuarantin tersebut disediakan oleh kerajaan Sabah.

"Baca perlahan-lahan apa yang saya tulis. Saya tulis: Pusat kuarantin yang disediakan kerajaan di Sabah."

"Saya tak tulis: Pusat kuarantin yang disediakan oleh kerajaan Sabah.

"Ada nampak apa perbezaannya tak? Fahamlah apa yang saya cakap sebelum berebut-rebut untuk cuba mengenakan saya.

"Adakah saya atau Rakyat tak boleh menimbulakn isu bahawa tempat kuarantin yang akan digunakan untuk kuarantin 14 hari bagi rakyat tak cukup baik dan perlu diperbetulkan?" Soal MP Pekan.

Beliau berkata para anggota exco Sabah perlu sedar mengenai keadaan di pusat kuarantin berkenaan dan sama ada menawarkan petempatan alternatif atau membersihkan kawasan itu.

"Bukan sekadar cuba menembak saya tapi tak buat apa-apa untuk perbaiki keadaan dalam masa krisis Covid ini," katanya lagi.

Untuk rekod, menteri kesihatan negeri Frankie Poon telah mengambil maklum kemudahan asas di beberapa pusat kuarantin di Sabah tidak memenuhi piawaian dan akan diperbaiki serta dibersihkan.

[Baca berita penuh]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS