Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gabungan antarabangsa ditubuh cari penyelesaian Covid-19
Diterbitkan:  Apr 3, 2020 10:34 AM
Dikemaskini: 2:34 AM

Sekumpulan doktor, saintis, penaja dan penggubal undang-undang dari 70 institusi dan lebih 30 negara berganding bahu membentuk satu gabungan antarabangsa untuk menangani pandemik Covid-19 dalam persekitaran yang kekurangan sumber.

Antara yang menandatangani pembentukan gabungan yang dikenali sebagai Gabungan Kajian Klinikal Covid-19 itu termasuklah Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Noor Hisham Abdullah dan 75 lagi individu dari pelbagai negara, antaranya Argentina, Amerika Syarikat, Perancis, Ethiopia, Sweden, Thailand dan Uganda.

Berdasarkan kenyataan dimuatkan di The Lancet semalam, ahli-ahli gabungan berkata usaha sama dan penyelarasan dalam kajian antarabangsa sangat diperlukan bagi membantu penduduk di Afrika, Eropah Timur dan sesetengah negara Asia untuk menangani pandemik Covid-19 yang semakin parah, dalam cara yang berkesan.

Kata gabungan itu, perkara itu boleh dicapai dengan mempercepat kajian yang disesuaikan dengan persekitaran yang mengalami kekurangan sumber.

Ahli gabungan berikrar untuk berkongsi kepakaran dan ujian klinikal mereka bagi memacu kajian Covid-19 dalam persekitaran yang kekurangan sumber, lebih-lebih lagi didapati sangat kurang ujian klinikal seumpamanya dilakukan daripada 600 ujian klinikal yang didaftarkan di bawah ujian SOLIDARITY, satu gerakan global yang diterajui Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

“Skala cabaran ini jelas melangkaui skop mana-mana pertubuhan. Gabungan ini akan membantu pendekatan yang selaras supaya semua data dari semua daerah dapat dikutip dalam cara yang sama, dikumpul dan dikongsi dalam masa nyata (real-time).

“Ini akan membantu negara-negara dan WHO untuk membuat keputusan polisi dan praktis dengan pantas, berdasarkan bukti-bukti,” kata gabungan itu lagi.

“Ahli gabungan menyeru komitmen khusus untuk membenarkan capaian (maklumat), supaya kaedah rawatan baru yang berkesan boleh diperolehi dalam kadar sesegera mungkin dalam persekitaran yang kekurangan sumber, mampu dimiliki dan boleh diakses,” katanya.

Gabungan itu julung-julung kali mengumpulkan pakar kesihatan dari pelbagai latar untuk bekerja berganding bahu bagi mencari peneyelesaian terhadap pandemik itu dalam persekitaran yang kekurangan sumber.

Ia termasuklah pakar dari institut kajian sektor awam, kementerian kesihatan, golongan akademik, pertubuhan kajian dan pembangunan bebas, NGO, serta pertubuhan dan penaja antarabangsa.

Lihat Komen
ADS